Dr. Mohd Puad Zarkashi

MEMBACA kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang menyindir dan mempertikaikan apa yang dilakukan Datuk Seri Ismail Sabri baru-baru ini memanggil saya untuk mencoretkan sesuatu agar kita jelas dan faham apa yang berlaku di sebalik tuduhan dan fitnah cuba beliau lakukan.

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/2021/08/01/biarlah-yang-penting-kandungan-sah-tpm/

Pada saya, Mohd Puad tidak layak untuk bercakap soal parti dan berdepan secara semberono menyerang kepimpinan dalam UMNO. Sebuah parti dan institusi yang cukup jelas dari segi hairaki itu perlu dihormati.

Medan perkongsian dan perundingan tertinggi ialah mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang harus digunakan sebagai tempat mencari solusi. Beliau hanyalah ahli MT yang dilantik sahaja. Beliau bukan Setiausaha Agung atau Naib Presiden. Bukan sesiapa pun.

Barangkali Mohd Puad sudah lupa yang dia bukan lagi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang memberikan segala komen berkaitan parti. Yang hairannya ketika mengetuai jabatan itu, dia ternyata gagal mempertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU14. Kenapa pula dia tidak seaktif itu seperti sekarang?

Bahkan, beliau pernah mengugut untuk bertanding atas tiket bebas sekiranya tidak dicalonkan pada PRU14. Rakyat tidak pernah lupa dan orang parti masih ingat perkara ini sehingga memaksa Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak memujuknya.

Telah terbukti Ahli MT ini hanya pentingkan diri. Dia sebagai (bekas) KP JASA sepatutnya berkempen ke seluruh negara untuk kemenangan parti, tetapi yang jelas dia pentingkan diri sendiri. Beliau mahu menjadi calon.

Kita boleh tengok keputusan Parlimen Batu Pahat yang dimenangi PKR yang mendapat 45,929 undi berbanding calon BN hanya memperolehi 28,035 undi. Beliau patut dipertanggungjawabkan atas kekalahan satu kerusi Parlimen.

Saya suka untuk bertanya kita semua. Apakah peranan Mohd Puad dalam UMNO? Saya tanya ramai Ketua-ketua bahagian, saya tanya ramai Ketua-ketua Wanita, saya kenal ramai Ketua-ketua Pemuda dan saya tanya kepada Ketua-ketua Puteri.

Semua jawapan mereka sama iaitu tidak tahu dan tidak boleh nyata apa sumbangan dan fungsinya, selain menyerang dan membuat kenyataan terbuka menyerang sesama dalam UMNO sejak dari dulu. Itulah Mohd Puad, tugasnya yang jelas ialah serang kepimpinan UMNO. Itu sahaja.

Mengenai perjumpaan Ahli-ahli Parlimen BN, ternyata Mohd Puad berbohong jika dia kata Ahli-ahli Parlimen tidak berjumpa Presiden. Ahli-ahli Parlimen BN telah mengadakan perjumpaan bersama Presiden, Timbalan Presiden dan SUA BN.

Sehari sebelum Persidangan Khas Parlimen sepatutnya ada pre-council, tetapi dibatalkan kerana Presiden telah dijangkiti Covid-19. Telah disahkan positif. Mana mungkin perjumpaan boleh dilakukan setelah kita mengetahui Presiden telah positif Covid-19. Sudah pasti pre-council perlu dibatalkan. Presiden mengetahui perkara itu. Hanya Mohd Puad yang tidak tahu.

Beliau juga tidak tahu perkara itu kerana dia bukan Ahli Parlimen. Di Parlimen, ada sistem WHIP, BNBBC dan PNBBC. Di Parlimen, mesyuarat Ahli Parlimen boleh dipanggil oleh Ketua WHIP parti atau Ketua WHIP kerajaan atau oleh Pengerusi BN Backbenchers Club atau PN Backbenchers Club.

Jadi, perjumpaan telah dipanggil oleh Ketua WHIP dan Pengerusi PNBBC. Mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN juga dihadiri oleh Penasihat BN yang juga Pengerusi BNBBC. Malah Najib berucap dalam perjumpaan tersebut dengan memberikan pandangan beliau dalam hal-hal berkait pendirian Ahli-ahli Parlimen.

Jadi, Mohd Puad seorang MT UMNO yang bukan Ahli Parlimen yang faham tentang sistem Parlimen tidak perlul menunjukkan kedangkalan pengetahuannya. Ahli-ahli Parlimen juga berhak menentukan halatuju mereka kerana mesyuarat MT lepas dengan jelas memutuskan Ahli-ahli Parlimen BN boleh menggunakan budibicara mereka untuk menentukan sokongan dan halatuju.

Oleh itu, mereka mahu membuat keputusan bersama supaya tidak berpecah. Keputusan bersama mereka adalah tidak menarik diri dalam kerajaan dan terus menyokong kerajaan PN.

Ketika Ketua-ketua Bahagian dan MT bersepakat untuk merapatkan saf dan mengukuhkan perpaduan, Mohd Puad bertindak memecah-belahkan parti. Semua Ketua-ketua Bahagian UMNO dan Ahli MT bersetuju untuk tumpukan kepada kerja-kerja di bahagian bagi memenangi PRU15, beliau pula tampil memudarkan semangat mereka dengan kenyataan yang bersifat racun dan tuba.

Pesanan saya kepada Mohd Puad yang mungkin lupa dia bukan lagi Pengarah JASA , jika tidak mampu membantu kawan-kawan dalam UMNO jangan pula menjadi batu api dan pengadudomba kepada pihak lain.

Kepada beliau juga, saya sarankan agar menumpukan usahanya untuk memenangkan Parlimen Batu Pahat agar ianya boleh membantu menambahkan kekuatan parti UMNO, tetapi jangan pula mengisytiharkan untuk bertanding bebas jika nama tidak dicalonkan kerana itu merupakan sebenar-sebenarnya pengkhianat kepada parti. – MalaysiaGazette

Wan Khairul Ihsan

Penulis, Wan Khairul Ihsan adalah penganalisis politik dan Pengerusi Institut Modenisasi Pemikiran Anak Kebangsaan (IMPAK).

2 Komen

  1. abis yg ada jawatan mp jek la yg berhak bersuara utk parti??
    ko sapa nak sibuk pasal umno n bn??
    majoriti mp2 drpd umno n bn skrg nie da gila kuasa,
    gila kemaruk jadi kerajaan pengkhianat rakyat,

  2. Dr Fuad tu semakin sasau dah kot.. Dia tk sedar ka kt Batu Pahat tu pun rakyat dh buang dia. Adalah mustahil andaikata dia jadi calon BN lagi diparlimen tu dia akan menang PRU15 nanti. Tgok gaya hari ni bukannya membantu menguatkan kembali parti pun, tapi dok melaga-lagakan pemimpin² Umno saja. Org jenis ni la yg dok pelingkop parti, sama mcm lobakman jgk.

Comments are closed.