Keadaan kesihatan Takiyuddin dilaporkan stabil selepas menjalani angiogram selama tiga jam.-Pix Utusan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan akibat masalah jantung di Pusat Perubatan IHEAL di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) itu dikatakan dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu dan menjalani angiogram selama tiga jam.

Keadaan beliau itu turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendoakan agar diberi kesembuhan.

“Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di hospital untuk rawatan.

“Sama-sama kita doakan agar diberikan kesembuhan segera,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun, keadaan Ahli Parlimen Kota Bharu itu dilaporkan stabil dan dipercayai akan keluar hospital esok.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersyukur Takiyuddin selamat menjalani proses pemasangan stent di saluran yang tersumbat.

“Saya baru menghubungi Takiyuddin pagi ini. Alhamdulillah beliau telah selamat menjalani pemeriksaan dan beliau maklumkan doktor telah siap memasang stent disaluran yang tersumbat.

“Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan dijangka keluar dalam sehari dua ini. Terus doa agar beliau cepat sembuh sepenuhnya,” katanya menerusi Facebooknya.

Dalam persidangan khas Parlimen bermula 26 hingga 29 Julai lalu, Takiyuddin menjadi sasaran ‘serangan’ Ahli Parlimen pembangkang yang mengasaknya supaya meletak jawatan kerana didakwa mengelirukan dewan dengan kenyataan pembatalan Ordinan Darurat.

Sidang Dewan Rakyat itu kecoh selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan mengenai kenyataan Istana Negara berhubung pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.

Anwar menyifatkan kenyataan Istana Negara yang memaklumkan kekecewaan Yang di-Pertuan Agong itu, menunjukkan kerajaan melanggar prinsip Perlembagaan dan tidak menghormati institusi diraja.

Tegasnya, kenyataan pembatalan Ordinan Darurat oleh Takiyuddin pada Isnin lalu mengelirukan Dewan Rakyat dan melanggar Peraturan Mesyuarat 36(12). – MalaysiaGazette