Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk pemimpin parti-parti politik perlu memikirkan keadaan semasa sebelum membuat sesuatu keputusan terutama ketika mengajak rakyat untuk mengadakan perhimpunan.

Ini kerana, negara masih lagi berada dalam situasi amat sukarĀ  ekoran penularan wabak Covid-19 yang kini semakin rumit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, beliau berharap tidak ada kluster-kluster baharu wujud disebabkan perhimpunan yang telah diadakan oleh pembangkang di Dataran Merdeka semalam.

“Bagi saya tak perlulah buat demonstrasi beramai-ramai di tempat yang sesak dan sebagainya sebab kita masih dalam keadaan Covid-19 ini.

“Kedaan kini masih sangat-sangat mencabar…jadi, apakan daya ia sudah dibuat…kita haraplah tidak akan mencetus kluster-kluster baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada sesi penyerahan sumbangan sempena Program ‘Hand to Hand’ Food Bank Malaysia bersama Komuniti dan petugas barisan hadapan di PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Alexander berkata, pembangkang sememangnya mempunyai hak untuk bersuara namun, semua itu mestilah mematuhi dengan Perlembagaan.

Katanya, mereka tidak boleh mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sesuka hati sebaliknya, keputusan itu hanya boleh dibuat oleh perdana menteri sendiri sebagai ketua dalam Kabinet yang ada sekarang ini.

“Dari segi sistem berperlembagaan biarlah kita gunakan sistem yang sedia ada untuk kita selesaikan masalah atau kemelut politik yang berlaku dalam seminggu ini.

“Jadi sama ada perlunya Yang Amat Berhormat turun (letak jawatan) dan sebagainya itu pun terletak kepada Yang Amat Berhormat sendiri memilihlah apa yang sepatutnya dia buat.

“Kita yang bersama dalam kerajaan selagi ada kerajaan selagi Yang Amat Berhormat berada di sana kita menyokong Yang Amat Berhormatlah dan kerajaan sedia ada…saya sebagai anggota Kabinet kalau perlu dibubar (Parlimen), bubar tak mengapa kita akur kepada sistem…selagi kita ada di sana kita jalankan tugas seperti pagi ini,” ujarnya.

Terdahulu, pada program berkenaan kira-kira 100 keluarga di kawasan PPR berkenaan menerima sumbangan keperluan asas berbentuk bahan makanan.

Sumbangan dihulur oleh pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd dan diagih-agihkan menerusi jawatankuasa yang dilantik.

Perkara sama turut akan dilakukan di beberapa lagi PPR pada masa akan datang dan sasaran pemberian itu dijangka melibatkan 1,000 penerima. – MalaysiaGazette