Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO memberi jaminan akan memperbaiki keadaan yang menghimpit rakyat akibat kesan pandemik Covid-19 secepat mungkin sekiranya diberi peluang menerajui kerajaan Persekutuan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO bersimpati dan menyedari masalah dihadapi rakyat terutama golongan muda yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Katanya, mereka tidak ada pilihan melainkan berdepan dengan risiko yang merbahaya dalam musim pandemik ini untuk mencari sumber pendapatan selepas hilang pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, kajian dari Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) mendapati 93.8 peratus daripada kira-kira 70,000 penghantar makanan adalah golongan Bumiputera dengan 80.1 peratus adalah anak muda berusia 18 hingga 30 tahun.

“Seperti yang pernah kita uar-uarkan sebelum ini, penghantar makanan juga kumpulan barisan hadapan. Kita hargai mereka kerana sanggup berdepan risiko untuk mengambil dan menghantar makanan untuk kita.

“Kajian TERAJU juga dapati antara faktor ramai Bumiputera menjadi penghantar makanan kerana hilang punca pendapatan disebabkan PKP.

“Faktor lain disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan demi kelangsungan hidup,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Kata Ahmad Zahid, mungkin disebabkan itu juga ramai di kalangan profesional berkhidmat sebagai penghantar makanan akibat hilang pekerjaan.

“Kepada abang, adik, kakak, penghantar makanan kita yang memang cenderung terhadap bidang ini, kita doakan mereka terus maju dan cemerlang.

“Kepada yang terdesak akibat kehilangan pekerjaan dan pendapatan, kita doakan mereka bertabah menghadapi dugaan dihadapi,” katanya.

“Insha-Allah apabila UMNO sebagai sebuah parti kembali menerajui kerajaan Persekutuan kita perbaiki keadaan ini secepat mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Rakyat mahukan penyelesaian jangka panjang. Ekonomi Bumiputera PERLU DIPERKASAKAN. BUMIPUTERA terutamanya anak-anak muda perlu diberikan PELUANG dan SOKONGAN untuk menggiatkan diri dalam bidang perniagaan. POLISI mesti dibentuk SUPAYA MEREKA TIDAK DIPINGGIRKAN OLEH kaum BUKAN BUMIPUTERA yang telah bergiat lama dalam bidang perniagaan (dengan amalan perniagaan bersifat ala-ala kongsi gelap, yang menekan peniaga-peniaga bumiputera yang batlru hendak bertapak).

Comments are closed.