Fahmi Mohamed Fadzil menunjukkan laporan polis yang dibuat mengenai satu kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil hari ini membuat satu laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa itu memulakan satu siasatan serius ke atas Datuk Zuraida Kamaruddin kerana didakwa telah menghina Yang Di-pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Komunikasi PKR itu berkata, kenyataan yang bersifat hasutan itu telah dikeluarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu pada 2 Ogos lalu dalam satu wawancara khas menerusi panggilan telefon bersama sebuah media penyiaran swasta tempatan.

“Beliau telah mengeluarkan beberapa perkataan, yang pada pandangan saya kenyataan bersifat tak hormat dan biadab terhadap baginda YDPA serta di mata rakyat beliau telah memperlekeh atau memperkecilkan fungsi dan kuasa YDPA seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hal ini mungkin mengapi-apikan mana-mana golongan dan berkemungkinan melanggari Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

“Oleh demikian saya meminta polis segera menyiasat kenyataan yang dikeluarkan Zuraida dalam wawancara itu yang ramai anggap tidak hormati fungsi Agong sebagai ketua utama negara,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebentar tadi.

Beliau menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Bersatu Ampang itu satu perbuatan yang sangat serius dan tidak menghormati kedudukan baginda yang menjadi payung kedaulatan negara. – MalaysiaGazette