KUALA LUMPUR – Majlis Raja-Raja Melayu boleh mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan sidang Parlimen segera dijalankan tanpa menunggu sehingga September ini.
Peguam yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim berpandangan, sebagai badan yang mengatasi politik, Majlis Raja-Raja boleh diharapkan untuk berperanan melindungi Perlembagaan Persekutuan daripada terus dicabul.
“Saya mengikuti sidang media yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam, terkait isu keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai Kerajaan Persekutuan.
“Saya menganggap kenyataan yang dibuat oleh beliau jelas memperlihatkan kerajaan PN akan terus bersikap derhaka dan membelakangi Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Justeru, kata Wan Anwar, beliau berpandangan penggunaan perakuan sumpah untuk membuktikan sokongan sebagai Perdana Menteri tidak lagi boleh dijadikan sandaran muktamad, tetapi harus dizahirkan melalui Parlimen yang mana selaras dengan tuntutan demokrasi. – MalaysiaGazette