Datuk Seri Idris Jusoh UMNO Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin
Datuk Seri Idris Jusoh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh memutuskan untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang agak lama menyepi diri dan dilihat tidak pernah campur tangan dalam kemelut politik berkata, Muhyiddin juga sebelum ini banyak membantu UMNO.

“Untuk kebaikan rakyat dan tidak banyak berpolitik, saya membuat keputusan untuk menyokong kerajaan sedia ada di bawah kepimpinan Muhyiddin.

“Sebolehnya kita jangan sangat berpolitik, terutama ketika rakyat sengsara dengan isu Covid-19. Kita wajib tumpu masa bantu rakyat. Tingkatkan vaksinasi dan pulihkan ekonomi.

“Jangan kita nafikan Muhyiddin telah banyak membantu UMNO. Dahulu di bawah Pakatan Harapan (PH), kita UMNO adalah pembangkang. Sekarang kita berada bersama-sama dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Felda berkata, pemimpin UMNO telah diberi pengiktirafan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dilantik Menteri-menteri Kanan kerajaan.

Katanya, kebolehan pemimpin UMNO itulah menyebabkan ramai ahli parti bersyukur dan turut sama dibantu kerajaan.

Idris memberi contoh, Muhyiddin juga banyak berjasa membantu warga Felda dengan bermula bantuan sukuk RM9.9 billion, diikuti baru-baru ini meluluskan penghapusan hutang berjumlah RM8.3 billion.

“Tidak akan jumpa lagi pemimpin sebegini yang berjiwa besar membantu warga Felda sebegini rupa,” katanya.

Berhubung situasi UMNO sekarang, Idris berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah berkata, Ahli Parlimen parti itu bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di Parlimen.

Sekarang, katanya, Ahmad Zahid membuat keputusan sentiasa berubah dengan mengarahkan pula Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri.

“Sayangnya, saya tidak nampak ‘game plan’ di mana Presiden UMNO hendak membawa kita pada ketika kesihatan rakyat masih diancam. Kita diarah menolak kerajaan sedia ada dan menolak kepimpinan Muhyiddin.

“Selepas itu ke mana kita? Adakah kita hendak kembali menjadi pembangkang? Membiarkan pemimpin bukan Melayu mentadbir agama Islam? Atau adakah kita hendah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana kita maklum akan hubungan akrab kedua-duanya?” soal beliau.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) telah membuat ketetapan menolak Anwar, tetapi Ahmad Zahid berkata Presiden PKR itu cikgunya.

Ahmad Zahid juga, dakwa beliau, secara diam-diam telah menandatangani  Akuan Sumpah (SD) menyokong Anwar.

“Oleh itulah, kita perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan demi kelangsungan masa depan UMNO.

“Saya berpendapat, masa depan UMNO akan menjadi lebih baik jika kita bersama-sama dengan kerajaan sekarang di bawah kepimpinan Muhyiddin. Kerajaan ini tidak maksum, namun bagi mengelak mudarat lebih besar, ia adalah pilihan lebih baik.

“Saya menyeru agar kita dapat tingkatkan solidariti di kalangan ahli UMNO. Saya sayangkan UMNO, dulu, kini dan selamanya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast