Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Perutusan khas Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam telah memberikan kelegaan serta pencerahan kepada rakyat terhadap polemik politik ditimbulkan UMNO tentang keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri sejak Selasa lalu.

Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, ketika negara berdepan tiga krisis iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan politik, Muhyiddin masih menjalankan tugas secara bertanggungjawab mengikut Perlembagaan.

“Ternyata Tan Sri Muhyiddin berani menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen pada September ini. Beliau seorang yang sabar dalam menghadapi ujian perjalanan politiknya.

“Perdana Menteri ini punya hikmah dan bijaksana dalam menguruskan bantuan kepada rakyat tatkala Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu menyatakan negara sudah kering kantung kewangannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyatakan beliau masih mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Menurutnya, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurutnya masih mempunyai sokongan majoriti.

Jelas Perdana Menteri, YDPA telah berkenan untuk beliau menentukan keabsahan kedudukan beliau di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.

Mohd Nazree juga berkata, pendekatan Muhyiddin melalui inisiatif Prihatin, Penjana, Pemerkasa dan Pemulih menunjukkan keprihatinan beliau dalam membantu rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Ternyata Perdana Menteri ini penuh integriti apabila tidak mahu bersekongkol mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskan individu tertentu dalam kes mereka.

“Maka atas sifat-sifat ini inilah menunjukkan kepada kita bahawa kita masih memerlukan sosok pimpinan yang mempunyai peribadi seperti ini untuk mengemudi negara dalam saat kritikal kita berdepan tiga krisis negara.

“Doa kami semoga Tan Sri Muhyiddin kekal tenang, sabar dan cekal dalam menghadapi ujian ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette