Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR –  Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan ada membuat tawaran atau mengugut Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengakui ada bertemu Syed Saddiq, tetapi ia lebih kepada kapasiti peribadi.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tohmahan yang telah dilontarkan yang dianggap sebagai sahabat, adik dan rakan seperjuangan.

“Saya juga tidak membuat apa-apa tawaran atau pun ugutan, itu tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuduh saya curi duit parti tetapi pujuk suruh sokong PM

Menurutnya, antara lain pertemuan itu hanya berkisar terhadap kepemimpin belia memandangkan Syed Saddiq merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan, bekas Ketua Armada dan masih menjalankan peranan dalam memimpin wacana semasa dalam kalangan anak muda.

“Dakwaan bahawa kes mahkkamah yang sedang dihadapinya telah direka amat tidak berasas kerana laporan polis yang membawa kepada kes ini dibuat oleh Syed Saddiq sendiri.

“Jika beliau yakin tidak bersalah, mahkamah adalah forum terbaik untuk membuktikan kebenaran,” katanya.

Menjelaskan lagi, katanya, intipati pertemuan itu juga tertumpu kepada idea untuk mengetepikan perseteruan politik dan menggembleng semangat penyatuan anak muda demi membina semula negara secara bersama.

Sebelum ini, Syed Saddiq menerusi satu video menyatakan ada bertemu Ketua Armada Nasional dan mendakwa telah dipujuk untuk kembali bersama serta telah diugut.

Artikel berkaitan:

Hari ini, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Pengakuan itu dibuat sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Syed Saddiq didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan dua pertuduhan ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibaca bersama dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini, pada 10 September depan. – MalaysiaGazette