Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Menuduh pimpinan UMNO tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional kerana tidak dibebaskan daripada pendakwaan merupakan tuduhan yang sangat kasar dan tidak senonoh.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malah menyifatkan tuduhan tersebut sebagai langsung tidak benar.

Beliau juga melahirkan rasa kesal parti itu kerana dilemparkan tuduhan sedemikian rupa demi memelihara kedudukan.

“Institusi diraja dipersenda, demokrasi dipermain, undang-undang dimanipulasi, kini rakyat dibohongi.

“Sanggup berdusta untuk memesongkan perhatian rakyat daripada isu pokok iaitu kegagalan dan hilang sokongan.

“Jika mahu tahu kaedah menyelamat diri daripada pendakwaan boleh lihat ‘katak’ yang kini selesa di seberang jalan.

”Boleh juga lihat kepada ‘belatuk’ yang kekenyangan dedak dalam sangkar serba baharu dan pesona,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kumpulan tersebut telah gagal menjadikan UMNO perisai mempertahan jawatan dan kedudukan.

Katanya, para pemimpin UMNO wajib mempertahankan parti politik itu supaya tidak tersasar dari landasan rakyat.

Ini kerana, katanya, UMNO sebuah parti politik milik rakyat malah sejak ditubuhkan UMNO dan rakyat berpisah tiada.

UMNO juga, menurut Zahid, mendaulatkan dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu sejak merdeka.

Katanya, pewaris UMNO tidak boleh menyimpang daripada falsafah dan semangat ini dengan apa jua alasan.

“Pimpinan UMNO yang setia perlu tegas mempertahankan pendirian, agenda, maruah dan jati diri untuk parti, rakyat dan negara.

“Suara akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO kita terjemahkan.

Meskipun itu bermakna perlu berdepan dengan pendakwaan dan tekanan yang sangat hebat.

“Ini bukan terjemahan tanpa fakta. Telah terbukti sejak 9 Mei 2018,” katanya.

Zahid juga menegaskan bahawa UMNO tidak boleh berpeluk tubuh menyaksikan hari demi hari ratusan rakyat gugur angkara kegagalan yang nyata.

“UMNO tidak boleh berdiam diri melihat rakyat terus hidup dalam penderitaan dan kesengsaraan.

“Perjuangan diteruskan. UMNO perlu bertindak,” katanya. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas menjawab keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional berkata, ketegasannya enggan campur tangan dalam urusan mahkamah berkaitan individu tertentu menjadi salah satu punca keadaan itu berlaku. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Zahid letak jawatan presiden baru org melayu boleh bersatu semula.. masa berkuasa lupa diri kenpa nk slahkan pihak lain

  2. SETIAP HARI BERTELAGAH SESAMA MELAYU ISLAM….UMPAMA MENANG SORAK TAPI AKHIRNYA TERGADAI MARUAH ….MUSUH2 TERSEMYUM RIANG MENUNGGU PELUANG TERHIDANG YANG DIKORBANKAN PARA PETUALANG ANGKARA DEMAM KESUMAT HINGGA KIAMAT

Comments are closed.