Maslin Sham Razman

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Kuala Kangsar memandang serius dan kesal tindakan Ahli Parlimen UMNO yang semakin berani dan terang-terangan menentang keputusan dibuat oleh parti.

Tindakan seumpama itu diambil khususnya oleh mereka yang telah diangkat oleh parti dan mendapat pelbagai kedudukan kerana dokongan yang diberikan oleh ahli akar umbi, amat mengecewakan.

Menurut Ketua UMNO Bahagian, Maslin Sham Razman, walaupun jelas kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal dan kemuncaknya wujud konflik hubungan dengan Istana Negara, namun ada ahli parlimen dari parti itu tidak berganjak dari terus menyokongnya.

“UMNO menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri kerana kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin membelakangi fungsi dan kuasa baginda.

“Tindakan mereka ini amat dikesali kerana langsung tidak menghormati dan mematuhi keputusan parti,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, sebagai pimpinan di peringkat akar umbi, UMNO Bahagian Kuala Kangsar menyatakan pendirian menyokong keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Katanya, keputusan dan pendirian Badan Perhubungan UMNO Perak itu juga selaras dengan pendirian parti yang dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) oleh sidang perwakilan.

Maslin Sham mengingatkan semua pihak khususnya Ahli Parlimen Kuala Kangsar agar mematuhi keputusan yang dibuat MKT pada Selasa lalu sebagai punca kuasa tertinggi parti dalam ketiadaan PAU.

“Kita akan berdiri teguh bagi mempertahankan parti dengan menyokong keputusan dibuat kerana ia terjemahan hasrat ahli akar umbi yang memang tidak boleh menerima mainan politik Parti Bersatu untuk memprorak perandakan keutuhan UMNO.

“UMNO Bahagian juga akan terus menumpukan usaha memastikan rakyat di kawasan Kuala Kangsar mendapat pembelaan sewajarnmya dan memastikan wakil rakyatnya di peringkat DUN dan Parlimen melaksanakan amanah parti demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette