Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak wajar dilabelkan sebagai pengkhianat parti hanya kerana beliau menentang keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib berkata, gelaran seumpama itu tidak boleh diberikan kepada Naib Presiden UMNO itu kerana tiada kesalahan dilakukan dan tidak melanggar mana-mana peraturan parti.

“Ahmad Zahid harus boleh membezakan antara keperluan tugas-tugas Jemaah Menteri berbanding parti.

“Jika Ahmad Zahid sendiri tidak berupaya membezakan tanggungjawab ini, maka itu petanda Ahmad Zahid harus letak jawatan kerana tidak lagi peka dan tidak sihat dalam membuat keputusan kerana dipengaruhi emosi.

“Dalam hal ini bukan Ismail Sabri khianati parti, sebaliknya Ahmad Zahid yang jelas mengkhianati parti dan membelakangkan ahli UMNO apabila bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Ismail Sabri akan berdepan ‘akibat’ daripada tindakan menentang keputusan MKT parti dan tampil berdiri bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Perdana Putra.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa Ismail Sabri pada mulanya bersetuju untuk akur keputusan parti.

Mengulas lanjut, Kartini berkata, Ahmad Zahid dilihat tidak peka dalam membuat sebarang keputusan kerana hanya berpandukan kepada emosi semata-mata.

“Jika Zahid sendiri tidak berupaya membezakan tanggungjawab ini, maka itu petanda Zahid harus letak jawatan,’ ujarnya.

Justeru itu, Kartini berkata, Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN tidak perlu membuat taat setia membuta tuli terhadap presiden kerana jelas dalam situasi politik ketika ini yang mana kepimpinan Ahmad Zahid boleh dipertikaikan.

“Jika benar perjuangan Ahmad Zahid selama ini untuk bangsa, agama dan negara, maka beliau perlu dengan secara terhormat melepaskan jawatan Presiden UMNO, menumpukan tenaga dan usaha menjawab kes mahkamah beliau.

“Saya memuji Muhyiddin dan kerajaan kerana benar-benar mahu mengembalikan keluhuran separation of power dengan tidak campur tangan dalam urusan Kehakiman dan Keadilan,” katanya lagi.

Hari ini, sejumlah 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ismail Sabri mengetuai 21 Ahli Parlimen hadir di auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini dan 10 lagi Ahli Parlimen yang tidak dapat berkata mereka menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa kerajaan PN harus diteruskan sehingga satu usul undi percaya terhadap Muhyiddin dibuat pada September depan. – MalaysiaGazette