Pelitup muka tiruan jenama Neutrovis berada di pasaran sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah merampas pelitup muka Neutrovis tiruan bernilai RM60,000 di Johor baru-baru ini.

Pemilik Maystar Beauty Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat pengeluar jenama Neutrovis, Zayn Puah berkata, operasi serbuan telah dilakukan di tiga lokasi di negeri itu membabitkan produk tiruan itu diedarkan.

Pihaknya sebelum ini telah menerima aduan daripada pelanggan mengenai pelitup muka mereka dan telah membuat siasatan.

Jelasnya pihak syarikat mendapati terdapat banyak pelitup muka Neutrovis tiruan di pasaran.

“Setelah mengetahui perkara ini, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk melaporkannya kepada KPDNHEP.

“Kedua, kami bertemu dengan peguam dan telah mendapatkan injuksi mahkamah. Tindakan ini membolehkan mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pengedar pelitup muka palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zayn menambah, pelitup muka tiruan yang dirampas itu belum menjalani sebarang ujian oleh Medical Device Authority (MDA) dan bahan yang digunakan juga tidak dapat dikenalpasti.

Menurutnya, pengguna Neutrovis telah membuat aduan mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan wajah mereka mula berjerawat ketika menggunakan pelitup muka tiruan itu dan berbeza dengan pelitup muka yang mereka gunakan sebelum ini.

“‘Pengguna kini mungkin terdedah kepada bahaya Covid1-9 dan berfikir mereka sebenarnya melindungi diri sendiri dan juga orang lain. 

“Penggunaan pelitup muka tiruan ini dapat menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan pengguna dan mereka yang di sekelilingnya serta tindakan pantas harus diambil untuk membendungnya,” katanya.

Zayn memberitahu, bagi mendapatkan kembali kepercayaan pengguna dan menghalang produk tiruan, Neutrovis telah melaksanakan langkah drastik iaitu elampirkan pelekat pengesahan dengan kod QR unik pada semua produk pelitup muka jenis empat lapis.

Pada masa sama, pihaknya akan sentiasa memaklumkan kepada orang ramai menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi tentang laman dalam talian yang didapati menjual produk Neutrovis tiruan.

“Usaha untuk memerangi produk tiruan Neutrovis di pasaran mungkin akan mengambil masa yang agak lama kerana masih ada pengedar lain yang tidak bertanggungjawab yang masih beroperasi,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat aduan atau maklumat lanjut mengenai Neutrovis, layari www.neutrovis.com  dan laman Facebook dan Instagram.

Sementara itu, Neutrovis adalah jenama Malaysia yang menghasilkan pelitup muka dan produk sanitasi.

Ditubuhkan sewaktu peningkatan pandemik pada tahun lalu,Neutrovis berusaha menyediakan pelitup muka gred perubatan yang lebih lembut untuk kulit tetapi masih mengekalkan ciri keselematan terbaik untuk rakyat Malaysia.

Oleh itu, jenama ini mula meraih populariti dan turut berjaya mendapatkan tempat di Malaysia Books of Records untuk pelitup muka yang paling banyak dijual dalam setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast