IMBAS. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) berbual bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada Sidang Khas Parlimen di dalam Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan terima kasih kepada 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyatakan pendirian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan dirinya.

Muhyiddin berkata, tindakan itu seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan satu usul undi percaya dibuat di Dewan Rakyat pada September depan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Timbalan Perdana Menteri, dan semua Ahli Parlimen BN yang bersama beliau menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya.

“Saya juga mengucapkan terima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada bulan September dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain.

“Ini adalah selaras dengan titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa sesi menghadap di Istana Negara pada hari Rabu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan satu muka surat itu dikeluarkan beberapa jam selepas satu sidang media tergempar dibuat 31 Ahli Parlimen BN yang diketuai Ismail Sabri.

Mereka adalah Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Halimah Sadique dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid.

Hadir sama adalah Ahli Parlimen Ayer Itam yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Mutalib, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hassan Ariffin, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed; Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Payar Besar, Shahar Abdullah.

Tiga lagi adalah Ahli Parlimen Tangjong Karang, Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.

Bagaimanapun, 10 ahli Parlimen yang tidak hadir namun turut menyokong pendirian itu adalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican; Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin; Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa agar ahli-ahi Parlimen BN dalam kerajaan agar menghentikan polemik politik yang sedang berlaku dan menumpukan kepada usaha menangani pandemik Covid-19.

“Saya berharap agar pendirian ahli-ahli Parlimen BN ini akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku pada masa ini dan memberi ruang kepada Kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani Covid-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara. Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini,” kata Muhyiddin lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

31 ahli Parlimen BN kekal sokong kerajaan PN – Ismail Sabri