KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus mengalami dagangan berhati-hati minggu depan, dengan indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,490 hingga 1,500 mata, kata peniaga.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, dalam keadaan sentimen yang lemah, pelabur akan terus memantau jumlah kes COVID-19 yang tinggi di negara ini selain perkembangan mengenai tindakan tegas pihak kawal selia China terhadap sektor pendidikan dan teknologi.
Beliau berkata bagaimanapun, minggu depan penting bagi pasaran memandangkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku kedua 2021 akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada 13 Ogos.
“Semua tumpuan akan terarah kepada laporan KDNK suku kedua 2021. Sudah pasti pelabur mahu menilai trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia terutama setelah sekatan pergerakan penuh dilaksanakan dalam tempoh itu yang menyebabkan kapasiti operasi terhad bagi beberapa sektor pembuatan.
“Amat diharapkan sebarang kejutan positif daripada data KDNK itu akan menyokong sedikit kenaikan dalam pasaran minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Adam menjangkakan pasaran tidak mengalami banyak perubahan memandangkan pelabur akan menunggu data KDNK tersebut.
Selain Malaysia, negara lain seperti Filipina, Taiwan, Singapura dan Hong Kong juga akan mengeluarkan angka KDNK suku kedua 2021 masing-masing minggu depan, katanya.
Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia mengalami penurunan dan kenaikan sepanjang lima sesi dagangan, dalam keadaan ketidakpastian politik yang memuncak, ditambah kebimbangan terhadap kes COVID-19 harian tempatan yang tinggi sehingga mencecah paras tertinggi pada Jumaat.
Malaysia merekodkan 20,889 kes COVID-19 baharu pada Jumaat — jumlah harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara pada Februari 2020.
Secara keseluruhan bagi bursa tempatan, FBM KLCI merosot 4.8 mata untuk mengakhiri dagangan minggu ini pada 1,489.80 daripada 1,494.60 pada Jumaat minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 19.37 mata kepada 10,954.1; Indeks FBMT 100 kurang 17.62 mata kepada 10,954.1 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 13.13 mata kepada 12,035.95.
FBM Ace melonjak 95.35 mata kepada 7,175.98 dan FBM 70 meningkat 40.89 mata kepada 14,559.18.
Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.49 mata kepada 188.69; Indeks Perladangan meningkat 86.41 mata kepada 6,125.45 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 23.01 mata kepada 14,704.46.
Indeks Tenaga menguncup 26.16 mata kepada 713.24; Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 115.06 mata kepada 2,702.94 dan Indeks Teknologi naik 4.46 mata kepada 92.81.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 20.23 bilion unit bernilai RM12.59 bilion daripada 21.44 bilion unit bernilai RM13.20 bilion pada minggu lepas.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 12.89 bilion saham bernilai RM10.56 bilion daripada 11.87 bilion saham bernilai RM10.28 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan waran sebanyak 1.48 bilion unit bernilai RM199.49 juta berbanding 1.79 bilion unit bernilai RM248.16 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula berkurangan kepada 6.44 bilion saham bernilai RM1.83 bilion daripada 7.78 bilion saham bernilai RM2.66 bilion. – MalaysiaGazette