PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyumbang sebanyak 130 bakul makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seroja di sini, hari ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sumbangan itu bertujuan untuk menyatakan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Lawatan muhibbah ini menerusi Program MAFI Prihatin untuk memberi sokongan dan menunjukkan kebersamaan kita dengan petugas barisan hadapan.
“Mereka ini bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab besar dengan memberikan vaksin kepada rakyat.
“Dalam masa sama kita juga dapat berjumpa dengan rakyat itu sendiri yang mengambil vaksin pada hari ini sebagai sokongan kepada mereka semua,” katanya pada sidang media di PPV Dewan Seroja, di sini, hari ini.
Selain bakul makanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut menyumbang 260 pek ikan sejuk beku dalam program sama.
Dalam pada itu, beliau berkata Program MAFI Prihatin itu akan diteruskan pihaknya bagi menyantuni petugas barisan hadapan PPV di sekitar Lembah Klang.
“Aktiviti seumpama ini adalah berterusan di mana kita di MAFI dalam memberi sokongan kita petugas barisan hadapan dan keseluruhan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette