Foto Instagram Shah Firdaus.

KUALA LUMPUR – Pelumba berbasikal trek negara,Muhammad Shah Firdaus Sahrom memberi khabar gembira buat  rakyat Malaysia apabila dia mengesahkan akan menyertai saingan suku akhir acara keirin di Sukan Olimpik 2020, esok.

Menerusi hantaran di akaun Insta Story miliknya hari ini, Shah Firdaus turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan mengambil berat mengenai dirinya.

Bagaimanapun pelumba berusia 25 tahun itu meminta semua penyokong tidak menghukum mana-mana pelumba susulan kemalangan yang menimpanya ketika saringan kedua acara keirin di Velodrom Izu, Jepun hari ini,

“Alhamdulillah saya dalam keadaan baik. Terima kasih atas sokongan dan keperihatinan anda. Keputusan x-ray dan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) menunjukkan saya OK dan saya boleh menyertai perlumbaan esok.

“Namun, tiada siapa yang mahu menyebabkan kemalangan dengan sengaja, ia sebahagian daripada perlumbaan dan setiap orang mahu menang. Doakan untuk saya pulih dan saya akan cuba buat yang terbaik esok,” katanya.

Pelumba berbasikal trek Great Britain, Jack Carlin menjadi mangsa kecaman netizen Malaysia di media sosial selepas dia didakwa menjadi punca Shah Firdaus terbabit kemalangan dan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas perlumbaan. – MalaysiaGazette