Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa menteri dari UMNO meletakkan jawatan ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19 akan mengganggu proses Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka sepatutnya mendokong segala usaha yang dilakukan kerajaan sekarang bagi memastikan segala masalah yang berpunca daripada wabak Covid-19 dapat diselesaikan.

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen dari UMNO yang kekal memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, sokongan itu membuktikan mereka mengutamakan agenda mensejahterakan kehidupan rakyat, memerangi Covid-19, mencapai imuniti berkelompok serta menstabilkan politik dan ekonomi negara.

“Kita sedia maklum sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen dari UMNO sedang menggalas tugasan penting dalam PPN.

“Mereka ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Timbalan Perdana Menteri), Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Seri Dr. Adham Baba (Menteri Kesihatan).

“Sekiranya berlaku peletakan jawatan, maka proses pemulihan negara akan terganggu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selasa lalu, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, manakala semalam, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Tindakan itu dibuat sebagai tanda aku keputusan parti dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Selasa lalu untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.

Tuan Ibrahim kemudian menyeru Ahli Parlimen lain turut bersama dan bersatu padu mendokong usaha PPN kerana situasi sekarang bukan masa untuk berpecah belah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast