Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bimbang penangguhan pemilihan parti itu satu tindakan terdesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu melemahkan UMNO.

“InsyaAllah UMNO tidak berdiam diri. UMNO tahu apa perlu dilakukan,” kata presidennya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas mengenai ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong kerajaan PN, beliau berkata, adakah mereka merestui tindakan kerajaan PN ke atas parti mereka.

“Apakah mereka yang mempertahankan kerajaan PN pimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merestui tindakan kerajaan PN ke atas parti mereka sendiri?

“Saya seru kepada mereka bukalah mata hati dan insafilah perjuangan politik yang sebenar demi rakyat dan negara,” kata Ahmad Zahid.

Terdahulu beliau berkata, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah memberi penjelasan lengkap mengenai perkara berkaitan pemilihan UMNO yang dibangkitkan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Bermula daripada perbincangan Mesyuarat MT UMNO sehingga kepada respons oleh KKM (Kementerian Kesihatan), RoS dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) berhubung penangguhannya.

“Inti pati surat oleh KKM dan MKN yang mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara dalam talian turut didedahkan.

“JIka tidak boleh dibuat secara online, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh bila pandemik Covid-19 Terkawal,” katanya.

Menurutnya, atas faktor UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat.

“Kekhuatiran berlaku kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar suatu masalah yang benar.

Penangguhan pemilihan UMNO tidak boleh disamakan dengan penangguhan sidang Parlimen kerana ia melibatkan 66,287 mesyuarat,” katanya.

Proses itu melibatkan seramai 3.3 juta ahli UMNO iaitu cawangan (21,135 mesyuarat), Wanita cawangan (21,058 mesyuarat), Pemuda cawangan (15,496 mesyuarat), Puteri cawangan (8,598 mesyuarat).

Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Manakala sidang Parlimen masih boleh diteruskan dengan SOP ketat yang mudah untuk dipantau serta dipastikan pematuhannya,” kata Ahmad Zahid.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast