Credit FB Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia

DUNGUN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor Harimau Malaya jantan, di ladang sawit Felda Kerteh 4 di sini hari ini.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata harimau yang dianggarkan berusia setahun setengah itu, ditemui di dalam perangkap yang dipasang Perhilitan di sekitar ladang sawit tersebut sejak 10 hari lepas.

“Kita pasang sembilan perangkap semuanya menggunakan kambing sebagai umpan. Kita percaya harimau ini adalah dari kumpulan harimau sama yang dikesan melalui kamera kira-kira dua bulan lepas.

“Setakat ini, pemeriksaan mendapati harimau seberat 70 kilogram itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Haiwan itu sihat dan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak untuk pemantauan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi menyelamatkan haiwan tersebut di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof.

Masalah serangan harimau liar yang dihadapi penternak di tanah rancangan semakin kerap berlaku sejak akhir 2019 dan pelbagai usaha telah dilakukan Perhilitan untuk menangkap haiwan pemangsa itu.

Setakat ini, sebanyak 240 ekor ternakan milik 309 peneroka di Felda Kertih 4 telah menjadi mangsa harimau yang dipercayai keluar dari Hutan Simpan Rasau, mengakibat kerugian ratusan ribu ringgit.

Penduduk turut bimbang keselamatan keluarga mereka kerana haiwan itu sering ditemui berkeliaran di kawasan ladang.

Pada Februari lepas, Perhilitan Terengganu dengan kerjasama NWRC, berjaya menyelamatkan seekor harimau jantan di Felda Kerteh 2 yang cedera dipercayai ditembak pemburu haram.

Namun, harimau jantan itu mati selepas menerima rawatan di Hospital Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) akibat komplikasi saraf, kegagalan sistem perkumuhan dan jangkitan kuman pada luka di kaki belakang.- BERNAMA