Datuk Azman Ismail

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS), ibu pejabat lebuh raya pertama yang menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi berjaya memberi vaksin kepada lebih 16,000 rakyat Malaysia dan warga asing dalam tempoh kurang dua minggu PPV itu mula beroperasi pada 26 Julai lepas.

Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan PPV berkenaan dijayakan dengan kerjasama rakan penasihat perubatannya, Primer Cherang bersama ProtectHealth, yang merupakan pelaksana pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata dengan menawarkan ibu pejabat syarikat itu sebagai PPV, ia diharap membantu dalam memastikan rakyat dapat divaksinasi sepenuhnya dan melindungi mereka daripada ancaman pandemik COVID-19.

“Semoga dengan usaha ini, perdagangan akan dapat diteruskan semula dan perniagaan kecil kemudiannya boleh dihidupkan kembali, dan negara kita boleh pulih dari segi ekonomi dan sosial, InsyaAllah, tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin yang membuat lawatan kerja ke PPV berkenaan semalam gembira dengan kemajuan serta keberkesanan operasi PPV itu.

Sebelum ini PLUS memaklumkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) memilih ibu pejabat Persada PLUS sebagai satu daripada 14 venue imunisasi awam bagi mempercepatkan pemberian vaksin menerusi Kapasiti Lonjakan Operasi dalam usaha memastikan semua orang dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos. – BERNAMA