Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendesak pihak tertentu yang cenderung menawarkan ganjaran tertentu kerana mahu sokongan supaya menghentikannya segera.

Beliau yang mewakili empat ahli Parlimen pembangkang yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan polis ekoran perhimpunan ahli-ahli Parlimen pembangkang ke Parlimen pada 2 Ogos lalu meminta pihak tertentu tidak meletakkan harga kepada ahli Parlimen yang dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Janganlah letak harga pada ahli Parlimen dan sila hormati maruah serta status kami yang memperjuangkan hak rakyat,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi hari ini.

Beliau bersama sama tiga lagi ahli Parlimen yang hadir ialah Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Parlimen Alor Star, Chan Ming Kai, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Tze Tzin antara tiga ahli Parlimen dari DAP yang didakwa menerima tawaran ‘durian RM30’ dan telah membuat laporan polis dan diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sudah ada pemimpin DAP lapor polis dan merujuk kepada siasatan SPRM pasal penerimaan tawaran durian RM30. Ini satu perbuatan tidak sihat seoleh cuba menetapkan harga untuk ahli Parlimen. Ia perlu dihentikan oleh pihak berkenaan,” katanya.

Malah dengan nada sindiran, bekas timbalan menteri itu berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang tawaran sebegitu dan sedang menunggu harga ‘durian’ naik lagi.

“Saya bekas Timbalan Menteri Pertanian tahu harga. Setakat semalam, harga RM30. Harap harga naik lagi RM40 ke RM50, Musang King no premium,” sindirnya.

Dalam pada itu, beliau juga kesal kerana lebih 30 ahli Parlimen pembangkang telah dipanggil  untuk membantu siasatan dan menjangka lebih ramai lagi akan dipanggil dalam tempoh dua minggu ini.

Perbuatan itu, katanya, kerajaan semasa menyiasat ahli Parlimen dalam kadar yang begitu banyak untuk satu kes perhimpunan adalah suatu yang tidak masuk akal dan tidak wajar diteruskan selepas ini.

“Cukuplah setakat soal siasat dan ambil keterangan daripada 30 orang ahli Parlimen setakat hari ini seolah berkempen setiap hari. Kami kerja untuk rakyat dan sedang sibuk dalam kerja amal pengagihan bakul makanan di kawasan masing-masing dan terpaksa mengejar masa untuk datang beri keterangan di sini.

“Semasa zaman kepimpinan Najib Razak pun hanya lima orang yang dipanggil dirakam keterangan untuk satu perhimpunan yang disertainya,” tegasnya.

Beliau juga mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menghormati hak ahli-ahli Parlimen yang dinafikan hak memasuki Parlimen dan disiasat kerana menyertai perhimpunan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast