Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memberikan jaminan bahawa jentera pentadbiran kerajaan tidak akan terjejas dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat walaupun berlakunya kemelut politik ketika ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, sistem pentadbiran kerajaan pada dasarnya adalah terasing dengan sistem politik kepartian dan tidak akan terkesan dengan situasi semasa politik negara.

Menurutnya, tahap profesionalisme warga penjawat awam adalah begitu tinggi kerana telah berikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara walau apa jua tekanan dan cabaran yang dihadapi ketika ini.

Malah CUEPACS yakin penjawat awam mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa dipengaruhi oleh situasi politik semasa.

”CUEPACS amat yakin dengan kemampuan dan kebijaksanaan penjawat awam khususnya semua ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua jabatan untuk terus berkhidmat secara profesional bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus cemerlang dan tidak terjejas.

”Walaupun berlaku peletakan jawatan menteri melibatkan beberapa kementerian, semua ketua setiausaha dan ketua jabatan dapat memberikan fokus dalam melaksanakan agenda yang telah ditetapkan bagi memberi perkhidmatan yang terus cemerlang kepada rakyat.

”Sebagai penjawat awam yang profesional dan neutral, kita tidak boleh dipengaruhi oleh unsur-unsur luar yang akan memberi kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Meskipun begitu, dalam konteks perkhidmatan awam pula, CUEPACS bimbang situasi yang berlarutan ini memberi kesan kepada fokus sistem penyampaian perkhidmatan yang diberi tanggungjawab untuk mengekang penularan Covid-19 dan dalam masa yang sama menjadi pemudah cara kepada pembangunan semula ekonomi negara.

Adnan menambah, dalam masa yang sama CUEPACS berharap semua pemimpin parti politik dapat mencari titik persefahaman agar negara kembali stabil dan pulih sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Seluruh rakyat dan pentadbiran kerajaan ketika ini sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan tumpuan perlu diberikan terhadap usaha mengekang penularan wabak serta pemulihan semula ekonomi negara.

Oleh itu, titik persefaham yang utama adalah dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam apa jua tindak tanduk agar tidak memberi kesan yang begitu ketara. – MalaysiaGazette