Pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tiba bagi mengambil keterangan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka pada Isnin lalu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

PUTRAJAYA – Empat pegawai polis selesai merakamkan keterangan Pengerusi Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini pukul 3.43 petang hari ini.

Keempat-empat pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu hanya merakamkan keterangan Dr. Mahathir dan anaknya yang juga Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz.

Kedua-dua mereka mengambil masa satu jam setengah untuk diambil keterangan.

Dalam pada itu, Pejuang dikatakan akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai sesi membantu siasatan polis berkenaan hari ini.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad tiba bagi memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka pada Isnin lalu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

Polis bertindak mengambil keterangan Dr. Mahathir dan Mukhriz ekoran kehadiran kedua-dua ahli Parlimen itu berhubung perhimpunan disertai mereka dekat Dataran Merdeka dekat sini pada minggu lalu.

Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka susulan 206 laporan polis diterima di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan dijalankan mengikut kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021(P.U.(A) 293.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Pada 2 Ogos lalu, seramai 107 ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng (Bagan) berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal masuk Parlimen. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis ambil kenyataan Tun M