Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (kanan) menyerahkan surat jawapan balas kepada RoS hari ini berhubung isu keputusan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan dibuat Majlis Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu yang dikatakan tidak sah.

KUALA LUMPUR – UMNO menyerahkan surat jawapan balas kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini berhubung isu keputusan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan dibuat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 7 Julai lalu yang dikatakan tidak sah.

Surat jawapan berkenaan diserahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Jasri Kasim di Ibu Pejabat RoS di Putrajaya tengah hari tadi.

Ahmad juga mengadakan perbincangan kira-kira sejam bersama Jasri dan beberapa pegawai RoS.

“Saya telah menemui Pendaftar Pertubuhan Jasri Kasim di Ibu Pejabat #ROS di #Putrajaya jam 12 tengah hari Isnin 9/8/21.

“Perbincangan sekitar sejam bersama beliau & pegawai-pegawai berjalan dengan baik dan mesra. Semoga ada keputusan yang memuaskan. Harap ahli & pimpinan #UMNO sabar menunggu,” ciap beliau menerusi Twitternya hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, UMNO sedia mengemukakan surat jawapan balas kepada RoS berhubung isu keputusan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan dibuat MT UMNO pada 7 Julai lalu yang dikatakan tidak sah.

Ahmad dipetik sebagai berkata, peguam UMNO berpandangan, tiada kekhilafan berlaku di pihak parti itu walaupun beliau tidak memperincikan kandungan surat berkenaan.

“Setiausaha Agung UMNO akan memberi surat jawapan balas kepada Ketua Pengarah RoS (pada 9 Ogos 2021).

“Peguam UMNO telah dirujuk (berkenaan keputusan RoS) dan mereka menyatakan tiada sebarang kekhilafan di pihak UMNO,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Jasri menjelaskan penangguhan itu tidak sah kerana tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021. – MalaysiaGazette