KUALA LUMPUR – Selagi kerajaan tidak menutup sumber terbesar iaitu sektor perkilangan yang menyebabkan virus Covid-19 merebak selagi itu kes harian akan terus tinggi.
Penurunan kes positif dan penularan pandemik Covid-19 tidak dapat diselesaikan menerusi vaksinasi sahaja, walaupun kerajaan beranggapan program itu berjaya dilakukan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil, untuk menyelesaikan kes itu, kerajaan perlu memberi tumpuan khusus kepada sektor perkilangan.
Katanya, beliau hairan kerajaan boleh menutup aktiviti peniaga kecil berminggu lamanya, tetapi tidak berani berbuat demikian pada kilang.
“Keadaan ini akan menjadi lebih teruk apabila semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengembara lengkap vaksin yang tiba dari luar negara dan mempunyai kediaman di Malaysia dibenarkan kuarantin di rumah.
“Aktiviti makan di restoran atau dine-in juga turut dibenarkan walaupun kawasan itu masih berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kita khuatir, dua perkara ini akan menyebabkan kes meningkat kerana terlalu berisiko,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata beliau, tindakan kerajaan terlalu banyak bergantung kepada vaksinasi dalam menyelesaikan wabak Covid-19 di negara ini adalah satu kesilapan.
Kononnya, ujar beliau, kerajaan mengikut model Labuan, di mana kes harian turun daripada tiga digit ke satu digit dalam masa kurang daripada dua bulan, yang berpunca kadar vaksinasi di wilayah itu mencapai tahap imuniti kelompok.
Bagaimanapun, Faiz menunjukkan contoh di Kuala Lumpur, yang mana semalam, kes harian dicatatkan 1,883 kes, walaupun lebih 90 peratus golongan dewasa di wilayah itu telah menerima dua suntikan vaksin.
“Di Putrajaya pula, kes masih tinggi sekitar dua digit yang direkodkan pada 6 Ogos lalu dengan melonjak sehingga 122 kes. Padahal, 100 peratus golongan dewasa di wilayah itu telah menerima dua suntikan.
“Situasi di Sarawak lagi teruk, meskipun kadar vaksinasi dua dos adalah lebih 72 peratus, tetapi semalam, kes harian dicatatkan 581 kes. Bukan itu saja, kadar jangkitan atau R-naught di tiga kawasan itu juga tinggi.
Selain itu, kata Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) itu, wujud juga kes di mana rakyat dijangkiti Covid-19 walaupun telah divaksin, seki gus menunjukkan krisis wabak itu tidak boleh diselesaikan hanya dengan vaksinasi semata-mata.
“Benar, vaksinasi adalah senjata terbesar kita, namun mampukah vaksinasi menyelamatkan Malaysia?
“Tidak masuk akal, misalnya, Sabah yang mencatatkan 1,379 kes 8 Ogos lalu dan kadar lengkap vaksin hanya 16.7 peratus, dibenarkan dine-in hanya kerana negeri itu berada dalam Fasa 2.
“Bukan itu sahaja, dengan membenarkan pengembara dari luar negara kuarantin di rumah, kerajaan membenarkan varian Covid-19 yang berbahaya merebak lebih teruk,” katanya.
Rakyat dihidangkan dengan pelbagai insiden sebelum ini, di mana golongan yang kuarantin wajib di rumah masih keluar dari kediaman mereka dan bolehkah kerajaan memberi jaminan insiden seperti itu tidak akan berulang?
Beliau menggesa kerajaan menubuhkan field quarantine centres untuk membolehkan lebih ramai individu positif Covid-19 kuarantin di pusat sedemikian dengan pengawasan kesihatan secukupnya.
Katanya, kadar kematian melebihi 10,000 setakat ini dan selagi mana kerajaan tidak memperbaiki strategi Covid-19, angka itu menunjukkan bilangan rakyat Malaysia yang mati akibat kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet. – MalaysiaGazette