PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

IPOH – Seorang wanita warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan mati dengan kesan kelar di leher di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Cahaya, Gopeng pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Hasron Nazri Hashim berkata, wanita berusia 74 tahun itu ditemui oleh anak perempuannya dan dua cucu yang pergi ke rumah berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada datuk mereka yang berusia 72 tahun pada kira-kira 7.30 pagi.

“Sebaik menerima panggilan, pengadu yang juga cucu lelaki berusia 26 tahun pergi ke rumah itu bersama ibu dan adiknya sebelum melihat nenek mereka tidak sedarkan diri dan terdapat kesan kelar di leher si mati yang terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik.

“Turut ditemui sebilah pisau di tepi mayat yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasron Nazri berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang lumpuh separuh badan dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak, tinggal bersama suaminya yang merupakan penghidap penyakit kencing manis, darah tinggi serta perlu berjalan menggunakan tongkat.

Katanya, pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah masuk di tempat kejadian dan menurut adik pengadu, sewaktu tiba di rumah itu, datuknya ada memberitahu ingin mati bersama nenek mereka.

“Siasatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di tempat kejadian telah menemukan sebilah pisau dan kemudiannya menahan suami wanita itu untuk membantu siasatan,” katanya yang turut memaklumkan proses bedah siasat akan dijalankan di Unit Patologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Beliau berkata, motif sebenar kejadian masih disiasat dan siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Bernama