Tertuduh, Noor Azma Azmin dikenakan denda RM3, 000 atas pengakuan bersalah menerima wang suapan untuk melepaskan 80 warganegara asing di KLIA pada 2017 ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 11 OGOS 2021.

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM3,000 ke atas seorang Pegawai Imigresen yang mengaku bersalah atas tawaran rasuah.

Tertuduh, Noor Azma Azmin, 39, membuat pangkuan itu bagi pertuduhan pindaan kepada pertuduhan pilihan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Bangunan Terminal, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar tahun 2017 ketika bertugas di Bahagian Kawalan Operasi, Balai Ketibaan KLIA.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan hukuman itu selepas Noor Azma mengaku bersalah dan insaf dengan perbuatannya yang menyalahi undang-undang.

Hakim memberitahu, kesalahan dilakukan tertuduh itu adalah serius dan mencerminkan seorang penjawat awam yang tidak berintegriti dan gagal menegakkan undang-undang.

Bagaimanapun, mahkamah berterima kasih kepada Noor Azma atas pengakuan bersalah bagi pertuduhan pindaan kepada pertuduhan pilihan kerana menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Perbuatan kamu memberi kesan besar kepada negara, selain duit yang diperolehi secara haram ini akan menjadi darah daging kepada kamu dan keluarga kamu,” kata Rozilah.

Noor Azma yang berkhidmat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak 2008 dilihat mengesat air mata selepas hakim menjatuhkan hukum dan beliau membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh ditawarkan wang suapan berjumlah RM25,000 secara tunai daripada Norafzadina Mohd Zainul sebagai upah membantu melepaskan warganegara China dan Pakistan dari sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/53.

Yang mana perbuatan itu telah melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam.

Beliau juga gagal melaporkan kesalahan tawaran suapan kepada SPRM atau polis yang berhampiran menyebabkan Noor Azma dituduh melanggar peruntukan Seksyen 25(2) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduhan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh menerusi peguamnya mengemukakan rayuan meminta hukuman diringankan dengan alasan tertuduh mempunyai tiga anak berusia empat bulan hingga lima tahun.

Tertuduh yang digantung terpaksa menyara keluarga dan suaminya juga kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Manakala Pendakwaraya, Mohd Afif Mohd Ali meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan tertuduh selaku penjawat awam, agar menjadi iktibar kepada masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast