Peniaga kedai makan dan pelanggan lebih rela memilih makanan berbungkus di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Rata-rata warga bandar raya ini termasuk mereka yang sudah lengkap vaksinasinya masih belum berani  makan di restoran meskipun sudah diberikan kelonggaran seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Ramai antara mereka masih memilih untuk beratur dan membungkus makanan daripada menikmatinya di dalam premis kerana khuatir dengan kadar peningkatan kes di daerah berkenaan.

Nurul Athirah Abdullah membeli makanan secara bungkus di Tanjung Api, Kuantan Pahang hari ini.

Nurul Athirah Abdullah, 25,  berkata, walaupun dirinya sudah lengkap dos kedua namun menyifatkan tidak makan di dalam restoran merupakan langkah lebih berwaspada yang perlu diambil.

“Walaupun sudah dos kedua sudah diambil tetapi lebih baik beli secara bungkus dahulu buat masa sekarang. Kita takut lagi dengan situasi sekarang, tengok berita pemergian Allahyarham Siti Sarah mengejutkan, jadi Covid-19 itu benar dan kita kena lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

 

Ahmad Shahril Shahir.

Bagi Ahmad Sharil Shahir, 40, pula beliau memilih membeli makan secara bungkus kerana ia lebih baik memandangkan kes Covid-19 masih tinggi di daerah berkenaan.

“Banyak kes lagi, angka pun belum betul lagi, lagi pun sesiapa pun boleh masuk ke kedai. Ada ramai yang tak cukup dos kedua, senang-senang boleh masuk pintu depan, pintu belakang.

“Beli bungkus lebih baik, kurang risiko daripada duduk makan dalam kedai, borak lama-lama,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemeriksaan Ketat di SJR Kawasan Fasa 1 PPN

Melaka sasar beralih ke Fasa Dua PPN hujung Ogos

Nazri Zaidi pemilik restoran makanan tengah hari di tangjung Api, Kuantan

Bagi pemilik restoran, Nazri Zaidi, 29, pihaknya juga memilih untuk membekalkan makanan secara bungkus bagi mengawal pandemik daripada wujudnya kluster baharu memandangkan kadar peningkatan kes berlaku secara mendadak.

“Sekarang ada varian baru, lebih buat masa masa sekarang, kalau buka takut lagi merebak. Sambutan bukan macam sebelum ini, memilih kekal selamat kerana lebih baik mencegah daripada merawat,” katanya.

Bagaimanapun pihaknya akan bersedia untuk menerima kehadiran pelanggan apabila  kesemua kakitangan melengkapkan dos kedua vaksin dengan kadar pematuhan prosedur operasi standard yang ketat.

Terdahulu kerajaan mengumumkan Pahang antara negeri dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara berkuatkuasa 10 Ogos memberi kelonggoran kepada penerima vaksin untuk menimati hidangan di dalam restoran. – MalaysiaGazette