Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli menunjukkan peningkatan 37.8 peratus pada Jun 2021 kepada 38,807 tan metrik berbanding 28,164 tan yang direkodkan pada Mei 2021.

Dari segi perbandingan tahunan pula, pengeluaran meningkat 15.7 peratus berbanding 33,531 tan metrik pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia berkata, sektor kebun kecil merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran getah asli pada Jun 2021 iaitu 89.2 peratus (34,599 tan metrik) dan selebihnya adalah dari sektor estet, 10.8 peratus (4,208 tan metrik).

Perbandingan bulan ke bulan bagi pengeluaran di kedua-dua sektor ini masing-masing melonjak kepada 35.2 peratus dan 63.5 peratus.

Manakala perbandingan tahun ke tahun pula, sektor kebun kecil kekal positif iaitu 20.3 peratus, sebaliknya sektor estet menunjukkan pertumbuhan negatif
11.6 peratus.

Peningkatan ini adalah selari dengan kajian yang telah dibuat oleh Lembaga Getah Malaysia yang menyatakan dalam tempoh setahun terdapat tiga fasa produktiviti pengeluaran getah dimana fasa pertama mulai Mac hingga Mei yang mana hasil torehan biasanya rendah dan fasa kedua bermula Jun hingga Ogos dimana hasil torehan adalah sederhana.

Pokok getah biasanya mengeluarkan hasil tertinggi pada fasa ketika bermula bulan September hingga Februari.

Melihat kepada senario perbandingan harga purata bulanan pula, Lateks Pekat merekodkan penurunan sebanyak -11.3 peratus kepada 564.62 sen sekilogram
berbanding 636.76 sen sekilogram.

Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM), masing-masing G.M.M. CV (-11.1%), G.M.M. L (-11.2%),
G.M.M. 5 (-2.5%), G.M.M. GP (-2.5%), G.M.M. 10 (-2.5%) dan G.M.M. 20 (-2.5%).

Penurunan harga yang berlaku di Malaysia ini adalah selari dengan perubahan harga yang berlaku di peringkat global.

Berdasarkan dapatan yang dikeluarkan oleh World Bank Commodity Price Data, harga bagi getah jenis TSR 20 dan SGP/MYS masing-masing menurun -3.1 peratus (daripada USD1.69/kg kepada USD1.64/kg) dan -7.4 peratus (daripada USD2.29/kg kepada USD2.12/kg).

Jumlah stok getah asli menurun 0.02 peratus pada Jun 2021 kepada 242,110 tan metrik berbanding 242,167 tan metrik pada Mei 2021.

Pada masa yang sama, penggunaan domestik juga menunjukkan penurunan -17.6 peratus kepada 34,862 tan metrik berbanding 42,304 tan metrik pada Mei 2021.

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,589 tan metrik pada Jun 2021, meningkat 1.0 peratus berbanding 48,111 tan metrik pada Mei 2021.

Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah dengan nilai sebanyak RM6.4 billion pada Jun 2021, meningkat sebanyak 16.6 peratus berbanding Mei 2021 (RM5.5 billion).

Negara eksport utama sarung tangan getah ialah Amerika Syarikat dengan nilai RM2.7 billion, Jerman (RM440.6 juta) dan India (RM201.9 juta),”
kata Mohd Uzir.

Bagaimanapun menurut beliau lagi, perbandingan suku tahunan menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 31.6 peratus kepada 89,985 tan metrik berbanding 131,643 tan metrik pada suku pertama 2021.

Beberapa indikator utama yang lain turut menunjukkan trend yang menurun seperti eksport (-5.7%) dan penggunaan getah asli dalam pembuatan produk berasaskan getah (-12.2%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast