Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia membuat keputusan untuk menamatkan kontrak Ejen Pos Rider yang beroperasi di sekitar Lembah Klang berkuatkuasa 1 September ini.

Pos Malaysia berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada fasa 2 pelaksanaan rasionalisasi program khidmat luaran (outsourcing) Pos Rider melibatkan 262 ejen Pos Rider di Lembah Klang.

“Program Pos Rider telah diperkenalkan pada tahun 2019 dan berjaya membantu Pos Malaysia menyampaikan lebih banyak bungkusan di seluruh Malaysia.

“Namun, pasaran pos dan kurier domestik telah melalui perubahan di mana jumlah mel terus menurun dengan begitu ketara, manakala para pemain e-dagang pula telah mula menawarkan khidmat penghantaran.

“Dengan mengambil kira segala faktor berkenaan, operasi kami telah dikaji semula dan mendorong kepada keputusan untuk menghentikan skim Pos Rider secara berperingkat,” kata Pos Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya bagi menghargai perkhidmatan bekas pekerja Pos Rider, Pos Malaysia akan memberi keutamaan kepada ejen-ejen ini untuk khidmat sambilan sekiranya ada peningkatan terhadap permintaan penghantaran bungkusan.

Menurut Pos Malaysia, langkah berkenaan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila bekas Pos Rider mampu menjana pendapatan tambahan, manakala Pos Malaysia dapat mengekalkan kecekapan kos.

Ujarnya, peningkatan permintaan sepanjang tahun biasanya berlaku semasa jualan sempena perayaan dan jualan tarikh khas anjuran pelbagai peniaga.

“Pos Malaysia akan terus meneliti strategi perniagaan, kos dan sumber apabila perlu bagi memastikan daya maju dan kemampanan perniagaan.

“Ini adalah penting sepanjang pandemik ini, oleh kerana kesan daripada pergerakan yang terhad dan operasi yang terbatas dihadapi oleh kesemua segmen perniagaan,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast