KUANTAN – Sebanyak 663 buah masjid termasuk surau kebenaran Jumaat terlibat dalam program Dapur Zakat bagi membekalkan bahan makanan asas dalam kawasan kariah masing-masing bermula Julai lalu hingga Disember ini.

Ketua pegawai Eksekutif Majlis Agama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukan bagi agihan Dapur Zakat di masjid terpilih di negeri ini bagi merealisasikan program berkenaan.

“Sebagai pemulaan untuk menyediakan keperluan asas tersebut pihak MUIP telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 ke dalam setiap akaun masjid di negeri Pahang berjumlah RM663,000.

“Justeru diminta pihak masjid masing-masing mengenal pasti pihak yang terkesan dan membantu kawasan kariah masih-masing bagi tidak terputus bekalan asas.

“Sekiranya tidak melalui kariah kampung masing-masing, maka agihan tidak dapat terkawal dan permohonan akan bertindan.

Tambah Hairi, bekalan akan dibekalkan secara berterusan selain ditambah setiap bulan mengikut keperluan dan ia akan diletakkan di atas rak di sudut dalam masjid.

Katanya, jika tidak mencukupi pihak majlis boleh memohon peruntukan tambahan melalui majlis itu dan kelulusan tertakluk kepada bilangan penerima.

“Selain itu pihak MUIP juga telah meluaskan lagi program ‘Dapur Zakat’ ini di setiap Pasaraya Darul Makmur bagi memudahkan asnaf hadir untuk mengambil keperluan asas yang diperlukan.

Sebanyak RM91,087,558.08 agihan khas zakat disalurkan kepada golongan asnaf di Pahang antara Januari lalu hingga kini. – MalaysiaGazette