Tony Pua

KUALA LUMPUR – Wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dicadangkan agar membuat pertimbangan wajar berhubung tawaran dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, bagi menghentikan kemelut politik ketika ini.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, yang membuat cadangan itu berkata, langkah itu menurut pandangannya adalah demi kepentingan rakyat dan tidak akan merugikan sesiapa.

“Pada pandangan saya, jika tidak dapat memastikan majoriti untuk Ketua Pembangkang, kita mesti memberi pertimbangan penuh kepada tawaran Muhyiddin.

“Lagipun, semuanya adalah untuk rakyat dan tiada apa-apa yang merugikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Pua berkata, sebahagian rakannya dalam pembangkang menyifatkan PN lemah dan terdesak sehingga membuat tawaran itu dan ia sudah terlambat.

Bagaimanapun beliau menegaskan, perkara itu tidak mungkin sebaliknya, jika kemelut politik berterusan ia boleh menjejaskan negara.

“Persoalan untuk kita dalam Pakatan Harapan (PH), adakah kita dapat menyelamatkan negara daripada jurang ini?

“Jika mereka lemah dan terdesak, tidakkah ini masa terbaik untuk kita berunding dengan mereka?” ujarnya.

Justeru, Pua mengajak pembangkang supaya melihat manfaat cadangan Perdana Menteri itu kepada rakyat dan mengakhiri kebuntuan politik yang berlaku.

“Kita sekat kepulangan semula kleptokrat, kita halang PRU ketika wabak, kita dapat (bolehkan) PN laksanakan pembaharuan yang tidak ternilai, kita dapat kesaksamaan dalam meluluskan rang undang-undang dan akhirnya, kita dapat mengeluarkan PN pada PRU yang akan diadakan dalam masa kira-kira 10 bulan lagi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. SUDAH TERANG LAGI BERSULUH…..tidak terperanjat pun malah sudah diJANGKA BILA MP2 PEMBANGKANG SERTA SEKUTUNYA MENOLAK TAWARAN INI….minta bersidang ….tapi bersidang jadi BEROK2 YANG SAKIT MENTAL…demo HARAM bila KKM minta tangguh parlimen…..ANWAFIKUN yang tidak bersyukur dapat pemgampunan YDPA…MENDERHAKA bila cabar DARURAT yang diperakui YDPA dimahkamah……

    suara RAKYAT suara KERAMAT…..RAKYAT BOLEH BOIKOT PRU melihat POLITIK DAN PEMIMPIN YANG TERUS CARCAMARBA…..

Comments are closed.