Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Kepala Batas di sini kerugian RM27,545 akibat diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan menerusi platform e-dagang.

Mangsa lelaki berusia 21 tahun dan perempuan berusia 23 tahun itu masing-masing kerugian RM21,450 dan RM6,095 akibat terjerat dalam penipuan sindiket itu selepas melihat iklan yang ditawarkan menerusi Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua mangsa terbabit dikatakan telah menekan satu pautan di Facebook sebelum mereka dimasukkan ke dalam satu kumpulan di aplikasi WhatsApp.

“Mereka diberi taklimat untuk bekerja sebagai ejen pembelian online menerusi mesej dalam aplikasi WhatsApp tersebut.

Noorzainy.

“Masing-masing diminta untuk melakukan tugas pembelian barangan yang ditetapkan oleh pengendali kumpulan WhatsApp itu.

“Pembayaran barang dalam tugasan itu bukanlah untuk pembelian, tetapi bertujuan menaikkan rating barangan tersebut di platform berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap nilai pembayaran dan bayaran keuntungan akan dibuat setelah mereka selesai melakukan tugasan tersebut.

“Pada peringkat awal, mereka menerima wang keuntungan seperti dijanjikan sehingga mendorong untuk membuat lebih banyak pembayaran.

“Bagaimanapun, tiada sebarang keuntungan diperoleh selepas pembayaran secara berperingkat berjumlah RM27,545 itu dibuat baru masing-masing sedar mereka ditipu sebelum tampil membuat laporan semalam.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar Noorzainy.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy berkata, sebanyak lima kes dengan modus operandi sama direkodkan di daerah itu setakat ini dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM59,328.

“Justeru, saya nasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui media sosial dengan meminta wang bayaran kerana ia merupakan modus operandi sindiket,” katanya. – MalaysiaGazette