KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa memohon maaf sekiranya mempunyai kekurangan sepanjang perkhidmatannya sebagai menteri dan mendoakan kesejahteraan kepada semua warga Wilayah Persekutuan.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berharap, semua warga tanpa mengira kaum dan agama di wilayah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan terus dijaga serta dibela.
“Saya amat faham dan sedar akan kekurangan saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Saya insan biasa yang tentunya tidak sunyi dari kesilapan. Oleh itu, saya memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan saya selama berkhidmat.
“Saya doakan semoga kehidupan rakyat, ekonomi, sosial dan keselamatan mereka terus pulih. Saya amat faham dan sedar akan kekurangan saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
“Semoga semua dikurniakan ketahanan imuniti menghadapi penularan viris Covid-19 dan lain-lain permasalahan,” katanya yang menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, pada jam 12.22 tengah hari, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk sembah maklum surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Muhyiddin hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri selepas 15 Ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan terhadap beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Annuar berkata, beliau kekal tenang dan berlapang dada, malah semua keputusan (dibuat) secara bersama.
“Yang penting kita sentiasa menghormati dan mematuhi undang undang dan Perlembagaan Negara.
“Asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat. Kepada rakyat kita berkhidmat hingga ke garis penamat.