Petugas mengambil gambar batu nisan pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2021. - Gambar hiasan.

SABAN hari negara mencatatkan kes kematian sepanjang tempoh wabak COVID-19. Sehingga kini, Malaysia telahpun mencatat angka kematian yang mencecah 12,510 setakat 15 Ogos 2021. Secara adatnya, kes kematian ini akan terus meningkat seiring dengan gelombang wabak yang masih tidak berkesudahan walaupun terdapat sedikit perkembangan positif hasil program vaksinisasi negara. Dari satu aspek, ramalan ini bukanlah suatu cita-cita ngeri tetapi ia merupakan bacaan berdasarkan data-data pihak berkuasa. Dari perspektif Islam, kematian merupakan sesuatu yang pasti berlaku dalam kitaran hidup seorang insan.

Hal ini telah ditunjukkan oleh Allah SWT dalam firmannya:
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ
مَتَاعُ الْغُرُورِ
“Setiap jiwa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sahajalah
disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke
dalam Syurga, maka sungguh dia telah berjaya. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah
kesenangan yang memperdaya” (Ali-Imran 3: ayat 185)

Potongan ayat di atas adalah jelas sebagai peringatan bahawa setiap insan pasti menemui
kematian sama ada dalam bentuk pengakhiran yang baik mahupun tidak. Mengamati kematian akibat wabak yang dilaporkan, kita tidak dapat menafikan bahawa banyak pihak terjejas. Dengan kematian ahli keluarga dari kalangan lelaki yang berfungsi sebagai bapa atau ayah misalnya, sudah tentu nasib ahli keluarga yang ditinggalkan berada dalam keadaan tidak tentu arah. Mana tidaknya, golongan ini merupakan tunggak dan
pengemudi keluarga.

Begitu juga, kematian para wanita yang berstatus ibu atau isteri pasti sedikit sebanyak menyebabkan hidup keluarga suram dengan ketiadaan belaian kasih sayang mereka. Lebih serius lagi, nasib golongan kanak-kanak yang menjadi yatim mahupun yatim
piatu akibat pemergian penjaga mereka di saat ini. Apa yang boleh dirumuskan ialah setiap golongan terjejas akibat kematian anggota keluarga lebih-lebih lagi golongan kanak-kanak kerana mereka akan melalui detik-detik sukar sepanjang tempoh membesar tanpa belaian ibu bapa.

Menurut satu laporan, 1.5 juta kanak-kanak di dunia akan kehilangan penjaga
daripada kalangan ibu bapa mahupun kaum kerabat mereka. Ini bermaksud, dunia akan
merekodkan peningkatan anak-anak yatim piatu yang tinggi akibat wabak ini. Dalam konteks Malaysia, terdapat beberapa laporan kes yang menghibakan apabila golongan kanak-kanak hilang tempat bergantung selepas pemergian ibu ayah mereka dalam tempoh pandemik ini.

Dilaporkan di Bukit Beruntung Selangor, 8 beradik sekelip mata menjadi yatim piatu. Turut dilaporkan kes hampir serupa di Negeri Sembilan yang mana lima beradik kehilangan ibu dan bapa mereka akibat COVID-19. Satu perkara yang perlu ditegaskan ialah kes-kes ini hanyalah sebahagian kes yang dilaporkan. Bermaksud, berkemungkinan lebih banyak kes dapat dikenalpasti sekiranya pihak berwajib membuat bancian atau kajian rapi berhubung isu ini.

Dalam perbincangan maqasid syariah Islam, salah satu elemen utama yang termasuk
dalam al-kulliyat al-khams ialah hifz al-nasl. Termasuk juga dibawah maqasid ini ialah hifz
al-nasb sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Buti dalam karyanya Dawabit al-Maslahah fi al-Shari’ah al-Islamiah. Hifz al-nasl yang diertikan sebagai menjaga keturunan ini mempunyai kaedah merealisasikannya samada dari janib al-wujud mahupun janib al-‘adam. Dalam hukum Islam, janib al-wujud terhadap hifz al-nasl dipelihara melalui pensyariatan seperti pernikahan, penjagaan anak (hadanah) dan pemberian nafkah.

Sementara dari janib al-‘adam terhadap hifz al-nasl ianya dijayakan dengan pensyariatan pengharaman zina, hukuman hudud terhadap pelakunya, larangan berkhalwat, melarang perbuatan yang mencegah kehamilan dan melarang pengguguran janin. Berdasarkan premis tersebut, persoalan besar yang perlu dibangkitkan ialah apakah maqasid hifz al-nasl masih terjamin dalam kehidupan masyarakat di Malaysia khususnya dari
janib al-wujud dalam tempoh penularan wabak kini. Persoalan ini berbangkit kerana melihat saban hari laporan akhbar merekodkan kes kematian akibat Covid-19. Hasil kematian tersebut, lahirnya komposisi anak-anak tanpa penjaga yang lebih dikenali sebagai yatim mahupun yatim piatu.

Selain itu, setengah kematian yang direkodkan itu juga menyebabkan si isteri kehilangan tempat bergantung hidup sekelip mata. Menilai krisis ini, tidak dapat dinafikan bahawa hifz al-nasl terjejas. Tumbesaran kanak-kanak dari segi emosi dan material antara aspek besar yang perlu diperhatikan. Begitu juga dalam kalangan para isteri yang bergantung penuh kepada suami mereka suatu ketika, kini hilang punca nafkah hidup selepas kematian sang suami. Sedih untuk digambarkan situasi mereka yang terlibat dalam krisis ini.

Walau bagaimanapun, semua yang terlibat harus reda dan sabar mengharungi hari-hari
mendatang. Mengamati hifz al-nasl dalam konteks ibu tunggal dan anak-anak yang kehilangan penjaga di waktu ini, semua pihak harus memainkan peranan penting. Sebagai anggota keluarga misalnya, hulurkan bantuan semampu mungkin kepada anggota keluarga yang ditimpa dengan ujian ini. Langkah mengambil anak angkat mahupun seumpamanya dilihat mampu mengurangkan risiko pengabaian terhadap kanak-kanak yang terlibat.

Dalam konteks negara, pihak berwajib perlu memastikan mangsa-mangsa yang terlibat dalam krisis ini khususnya dalam kalangan kanak-kanak mendapat perhatian sewajarnya. Polisi menangani anak-anak yatim pasca COVID-19 perlu dirangka rapi. Hal ini kerana, pengabaian mereka ketika ini bakal mengundang malapetaka terhadap masa depan negara memandangkan kurangnya kasih sayang menjadi faktor besar keterlibatan remaja dengan jenayah. Justeru, perhatian dan peranan kita dalam merealisasikan hifz al-nas terhadap mereka yang terjejas sangat dituntut bagi memastikan kehidupan yang harmoni dalam konteks masyarakat dan negara.

Oleh: Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya