Yuna dipilih sebagai wajah rasmi myIOU.

KUALA LUMPUR  – Penyanyi dan komposer antarabangsa, Yuna terus mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai wajah rasmi myIOU milik sebuah syarikat fintech dan kewangan digital iaitu IOUpay (ASX:IOU).

myIOU adalah servis perkhidmatan kewangan terbaru yang menawarkan khidmat Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) sesuai dan mudah untuk para peniaga dan usahawan atas talian dengan adanya pilihan pembayaran fleksibel yang pasti akan menarik ramai pelanggan dan pengguna.

Melalui kerjasama ini, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai  mewakili myIOU dalam kempen-kempen dan aktiviti-aktiviti promosi secara atas dan bawah talian melalui pelbagai jenis media.

Yuna, 34, berkata, dia akan menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan peluang kemudahan BNPL  sebagai satu kaedah pembayaran pembelian alaf baru disamping mempromosikan manfaat BNPL ini kepada peniaga-peniaga dan juga pelanggan-pelanggan tempatan demi membantu rakyat Malaysia dikala negara sedang dilanda kemarau pandemik pada masa ini.

“Ramai yang tahu saya memang gemarkan jenama-jenama tempatan sama ada kecil atau besar sejak dari dahulu lagi. Saya akan kongsikannya dengan keluarga dan para peminat, tapi saya rasa cara itu masih belum lagi boleh dianggap menyeluruh.

“Dewasa ini, banyak usahawan tempatan mengalami kekangan kewangan dalam memastikan perniagaan mereka terus berkembang.

“Bagi saya, kerjasama dengan myIOU ini tiba pada masa yang tepat kerana saya memang sedang mencari peluang untuk membantu para usahawan demi kelangsungan perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yuna yang terkenal dengan lagu Dan Sebenarnya menambah, dengan adanya perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later/ BNPL) yang ditawarkan oleh pihak myIOU, ianya akan pasti dapat membantu bukan sahaja para peniaga malah para pelanggan juga.

“Saya bersama-sama pihak myIOU berharap dapat menarik seberapa ramai orang di luar sana untuk mengambil peluang menggunakan perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian oleh pihak myIOU”, kata Yuna.

Sementara itu, Pegawai Komersil Wilayah IOUpay, Christopher Kok berkata, pemilihan Yuna bukan sahaja mempunyai jumlah pengikut yang ramai di ruang media sosial.

Malah katanya, Yuna pernah bekerjasama dengan beberapa jenama berkenaan seperti Malaysia Airlines ditambah dengan peminat dan kesinambungan muzikk Yuna juga dilihat meliputi hingga ke seluruh Asia Tenggara.

“Ini pasti akan dapat membantu myIOU memperkenalkan perkhidmatan dan kemudahan pembayaran yang mereka sediakan dikalangan pelanggan dan usahawan di rantau ini nanti.

“Yuna dipilih bukan hanya kerana beliau adalah seorang ikon orang ramai, tetapi kemampuan beliau mengeratkan jurang pelanggan dengan perniagaan-perniagaan tempatan demi membantu mereka mengembangkan lagi sayap perniagaan dikala musim pandemik ini.

“Sebagai pemain peranan utama industri BNPL di Malaysia, kami selalu mencari pihak-pihak yang mempunyai misi dan visi seperti kami. Gabungan Yuna dan myIOU sangatlah sesuai kerana nilai-nilai yang dibawa kedua-dua pihak adalah amat selari dengan matlamat kami untuk menjadi pemain utama dalam industri transaksi kewangan digital di rantau Asia Tenggara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast