Seorang wanita (kiri) Siti Nurfarahiyah Yusri, 20, selaku Orang Kena Saman (OKS) berjalan keluar selepas didakwa di mahkamah atas pertuduhan membuat laporan palsu mendakwa disamun dan mencederakan dirinya di Mahkamah Selayang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 OGOS 2021.

SELAYANG – Tindakan seorang gadis yang membuat laporan palsu kononnya dia ditikam di peha selepas diragut penjenayah mengundang padah apabila dia didenda oleh RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap tertuduh, Siti Nurfarahiyah Yusri, 20, selepas gadis itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan terhadapnya.

Kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Nik Fadli sekitar 11 pagi tadi.

Sekiranya gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama enam bulan, dan membayar jumlah denda berkenaan.

Mengikut fakta kes pertuduhan, Nurfarahiyah didakwa telah memberikan maklumat palsu kepada seorang pegawai polis Mohd. Sheqal Roslan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 10, Taman Greenwood,  Batu Caves, Gombak di sini pukul 4.24 petang pada 14 Ogos lalu yang didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ditikam di peha dalam cubaan samun 

Wanita tikam peha sendiri, reka cerita samun didakwa esok 

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesusahan pihak polis dalam melakukan siasatan terhadap laporan yang dibuat sendiri oleh gadis berkenaan.

Bagaimanapun peguambela, Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah meringan hukuman dengan alasan tertuduh menyesal dengan apa yang yang telah dilakukan.

“Yang Arif, tertuduh melakukan perkara itu kerana berdepan dengan tekanan emosi dan menginsafi perbuatannya maka saya memohon hukumannya diringankan, ” kata peguam itu.

Sementara itu, di luar perkarangan mahkamah, seorang lelaki dipercayai bapa kandung tertuduh tidak senang dengan kehadiran pengamal media yang membuat liputan kes berkenaan.

Dia beberapa kali bangun berjalan dan mengambuil gambar pemberita dan jurukamera yang berkumpul di hadapan pintu masuk kompleks mahkamah Selayang.

Sejurus selesai pembayaran denda, lelaki itu bertindak bertemu pengawal keselamatan wanita yang duduk di dalam kawasan pintu masuk mahkamah untuk membenarkan kenderaannya dibawa masuk bagi tertuduh.

Lelaki berkenaan enggan gambar anaknya dirakam media.

Bagaimanapun dia terpaksa akur dengan arahan dan peraturan semasa mahkamah yang melarang kenderaan awam ke dalam kawasan mahkamah.

Tertuduh bersama seorang lagi wanita dipercayai ibunya berjalan keluar dari mahkamah sebelum menaiki kenderaan dan meninggalkan pekarangan mahkamah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga anggota polis telah menerima satu laporan daripada gadis berkenaan, yang mana dia mendakwa  menjadi mangsa ragut dan telah ditikam di bahagian paha.

Bagaimanpun, hasil siasatan mendapati wujud kecurigaan terhadap laporan polis itu kerana gadis itu gagal memberikan gambaran jelas kejadian.

Selain itu, kedudukan pisau yang berada pada paha wanita itu berada dalam keadaan tegak seolah-olah mangsa menusuk dirinya sendiri.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed dalam perkembangan terbaharu siasatan kes itu semalam berkata, laporan polis yang dibuat wanita itu adalah tidak benar sama sekali.

Malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian juga mendapati wanita itu memandu kereta Myvi seorang diri dan berlegar beberapa kali di jalan sama sebelum memberhentikan kenderaannya sebelum kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast