PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kurier ditahan polis malam semalam selepas disyaki memukul isterinya dalam satu kejadian di Taman Kosas, Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Eshak berkata, lelaki tempatan berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja perempuan pada 13 Ogos lalu.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika suami pengadu yang bekerja sebagai penghantar kurier baru sahaja pulang ke rumah. Ketika sedang berbincang mengenai hal perbelanjaan rumah tangga, pengadu cuba mengambil telefon bimbit suaminya untuk diperiksa tetapi tidak diizinkan.

“Kemudian berlaku pergaduhan dan pergelutan kerana suami pengadu tidak mengizinkan telefonnya untuk diperiksa sebelum pergaduhan itu dileraikan oleh ibu pengadu yang tinggal berhadapan rumah mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Farouk, pasangan tersebut telah berkahwin sejak Oktober tahun lalu dan mempunyai seorang bayi lelaki.

Katanya, akibat pergelutan tersebut, pengadu mengalami kecederaan ringan iaitu lebam di bahagian lengan kiri, kanan serta kesan lebam pada lutut kiri akibat terjatuh dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mohamed Farouk berkata, punca pergaduhan adalah disebabkan suami pengadu pulang lewat pagi ke rumah.

“Suspek telah ditahan reman selama empat hari dan ujian saringan air kencing yang dilakukan juga negatif dadah,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga. – MalaysiaGazette