Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) hari ini mengumumkan mereka telah kehilangan khidmat pemain pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie kerana mengalami kecederaan bahu.

Rodney atau dikenali sebagai ‘Bonai’ dibawa ke hospital selepas diusung keluar pada minit ke 27 ketika perlawanan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi akibat berlanggar dengan David da Silva.

“Aksi sepenuh jiwa beliau sepanjang bersama pasukan KDA FC cukup bernilai selepas Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak memberi kepercayaan penuh bergandingan bersama Renan Alves.

“Menurut penilaian awal perubatan, beliau perlu melalui proses rawatan susulan dan proses pemulihan yang menghadkan aksinya seterusnya tidak dapat meneruskan baki saingan musim ini.

“Kami warga kelab dan pasukan mendoakan semoga Rodney ‘Bonai’ Celvin Akwensivie cepat sembuh, sabar melalui tempoh sukar ini dan cepat kembali beraksi bersama pasukan KDA FC,” kata kelab itu di laman Facebook rasmi mereka.

Berdasarkan rekod, Rodney tampil dalam 13 perlawanan bersama skuad itu dan mempunyai 1,170 minit permainan setakat ini.

Kehilangan pemain berdarah campuran Malaysia-Ghana itu pasti akan dirasai oleh pengendali dari Singapura itu. – MalaysiaGazette