Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menunjukkan laporan polis pada sidang media berkenaan tular satu rakaman suara yang dikatakan mirip suara beliau di Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 23 Ogos 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Temerloh, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menyifatkan satu rakaman suara yang tular dikatakan mirip suaranya adalah fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau yang mengumumkan untuk kembali ke pangkuan parti UMNO baru-baru ini turut menegaskan, tindakan itu merupakan satu perbuatan terkutuk yang mencemar nama baik Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah.

Malah jelas beliau, lebih mengecewakan kerana fitnah itu juga mungkin telah mencemar nama Raja-Raja Melayu.

“Saya perlu jelaskan kepada masyarakat saya tidak membuat sesuatu yang terkutuk seumpama ini.

“Bahkan melibatkan nama baik dan kemungkinan nama Raja-Raja Melayu yang lain.

“Jadi saya merasakan ini satu perbuatan saya difitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi menjelaskan isu rakaman suara yang tular pagi ini yang dikatakan mirip suaranya mempertikai perkenan Agong melantik perdana menteri baharu.

Pada 9 Ogos lalu, Tengku Azlan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga Menteri Besar Pahang.

Surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada Setiausaha Agong PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ditanya rakaman suara yang tular ada kaitan dengan keputusannya beliau kembali kepada UMNO, Tengku Azlan menafikan pandangan itu.

Jelas beliau, apa yang dilakukan sebelum ini hanya menyuarakan kriteria seorang pemimpin yang perlu memiliki imej antarabangsa, berkebolehan dan tidak terlibat dengan rasuah.

“Namun apabila seseorang itu mendapat majoriti dan sokongan Ahli Parlimen, kita kena terima.

“Ini kerana termaktub dalam Perlembagaan dan perlu dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Apa yang dilakukan Yang di-Pertuan Agong selepas bermesyuarat dengan Raja-Raja telah mengikuti Perlembagaan,” katanya.

Ditanya beliau mempunyai musuh dalam politik, Tengku Azlan tidak pasti tentang perkara itu.

Tegas beliau, tindakan menyertai bidang politik bukan untuk bermusuh dengan sesiapa sebaliknya mahu menyatupadu masyarakat termasuk ahli politik.

“Jangan kita mengaitkan peribadi seseorang kita ia politik yang tidak baik dan tidak sihat,” katanya. – MalaysiaGazette