Datuk Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terkejut apabila namanya dikaitkan dengan insiden pengaturan perlawanan pada Sukan Asia 2006 di Doha.

Chong Wei berkata, beliau tidak tahu mengenai insiden tersebut sehingga rakan baiknya, Taufik Hidayat mendedahkannya pada satu wawancara baru-baru ini.

“Selama ini saya langsung tidak tahu, Taufik pun tidak pernah menceritakan kepada saya. Saya hubungi beliau semalam selepas perkara ini tular, sebagai kawan beliau ada beritahu siapa individu itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Terdahulu, tular sejak semalam apabila beberapa portal Indonesia dan tempatan melaporkan pendedahan juara Olimpik Athens 2004, Taufik yang mendakwa bahawa seorang pegawai dari Malaysia mendekatinya untuk kalah kepada Chong Wei dalam aksi separuh akhir Sukan Asia 2006.

Namun, legenda Indonesia itu berkata, beliau menolak tawaran ganjaran dua kali ganda daripada RM60,000 yang layak diterima dari Indonesia sebagai pemenang pingat emas demi maruah negaranya, sebelum menewaskan Chong Wei dan Lin Dan dari China di final untuk muncul juara.

Bekas pemain berusia 38 tahun berasal dari Pulau Pinang itu berkata, disebabkan perkara itu berlaku 15 tahun dahulu, mereka mahu bergerak ke hadapan dan enggan menamakan individu tersebut.

Menurut Chong Wei lagi, luahan Taufik baru-baru ini juga bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pemain-pemain muda supaya tidak terlibat dengan gejala terkutuk itu.

Chong Wei mengakui bahawa beliau tidak begitu terperanjat dengan kejadian itu kerana beliau sendiri pernah didekati oleh ‘bookie’ untuk menjual perlawanan, yang ditolak sekeras-kerasnya demi menjaga maruah negara dan integriti sukan kesayangannya.

“Dulu masa main kita main, memang ramai orang jumpa kita, saya cakap saya tak pernah buat perkara itu, kerana pentingkan jasa kepada negara. Kalau anda jual perlawanan, saya rasa ia sama seperti menjual satu negara,” katanya.

Chong Wei juga menasihatkan pemain muda supaya tidak sesekali terlibat dalam isu pengaturan perlawanan kerana boleh menjejaskan masa depan dan karier mereka, di samping mengalu-alukan usaha Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang aktif menangkap mereka yang bersalah.

“Saya nasihatkan semua atlet supaya jangan buat perkara ini. Mungkin akan ada orang tawarkan wang yang banyak, memang waktu muda-muda atlet terpedaya dengan wang dan fikirkan peluang memenangi sesuatu perlawanan itu bukannya 100 peratus.

“Tetapi bagi saya, karier itu lagi penting. Apabila anda membina karier dan menjadi juara, secara automatik anda akan mendapat penajaan, sokongan (produk) dan yang lebih penting menjaga imej negara.

“Ketika saya muda, saya ingat kata-kata (bekas jurulatih) Datuk Misbun Sidek, bahawa ‘kamu beri saya tenaga, wang yang akan cari kamu nanti’.

“Walaupun saya daripada keluarga susah, saya tidak fikirkan duit, susah macam mana pun, saya berjuang untuk dapatkan keputusan baik,” katanya. – Bernama