Lakaran fotofit dan imej empat penjenayah kes samun kedai emas di Kepong semalam yang diburu polis untuk membantu siasatan kes.Foto: IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu empat suspek lelaki yang disyaki terlibat menyamun sebuah kedai emas di Jalan Metro Perdana, Kepong, di sini, semalam.

Imej rakaman Kamera Litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta lakaran fotofit penjenayah digunakan polis untuk mengesan keempat-empat suspek tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, empat lelaki bersenjatakan sebilah kapak dan sebatang tukul besi meluru masuk ke dalam kedai lalu menolak salah seorang kakitangan wanita ke lantai.

Tambah beliau, suspek memecahkan cermin kaunter dan almari pameran barang kemas.

“Mereka berjaya melarikan sejumlah barang kemas berupa rantai leher dan rantai tangan anggaran bernilai RM50,000,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Empat lelaki bersenjata kapak, tukul samun kedai emas 

Menurut Eng Lai, dua buah motosikal jenis Yamaha Y150ZR warna hitam dan turquoise digunakan penjenayah yang mana setiap satunya dinaiki dua orang.

Jelasnya, semakan ke atas nombor pendaftaran kedua-dua motosikal tersebut didapati palsu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

“Polis juga mengedarkan beberapa imej penjenayah yang dirakam di tempat kejadian serta fotofit penjenayah yang dipadankan berdasarkan keterangan saksi,’ ujarnya.

Tabah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Azrizal Khairul di talian 109-2769117 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat polis Daerah Sentul di talian 03-40482206. – MalaysiaGazette