Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengekalkan pindaan kepada syarat-syarat Skim Malaysia Rumahku Keduaku (MM2H) yang diumumkan kerajaan terdahulu pada 11 Ogos lalu.

Ketua Penyelaras Pusat Khidmat Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan mengambil masa setahun untuk memutuskan syarat baharu dan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat u turn.

“Skim ini telah ditangguhkan pada Ogos tahun lepas akibat pandemik Covid-19 dan akan diaktifkan semula pada Oktober ini. Syarat-syarat baharu ini adalah wajar jika kerajaan mahu menarik mereka yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

“Menaikkan syarat kelayakan bagi pendapatan bulanan peserta luar negara dari RM10,000 kepada RM40,000 sebulan adalah wajar kerana pendapatan RM10,000 sebulan bukan sesuatu luar biasa bagi seorang profesional yang telah bekerja lebih 20 tahun di Malaysia.

“Jika kerajaan mahu menarik mereka yang memiliki keupayaan kewangan lebih tinggi, maka pendapatan mereka sepatutnya jauh lebih tinggi daripada penduduk tempatan, RM40,000 sebulan kelayakan minima adalah wajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar, keputusan agar peserta memiliki simpanan tetap minima RM1 juta dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta mungkin tinggi di Malaysia namun ia mesti dinilai berdasarkan kemampuan rakyat di negara-negara asal pemohon MM2H seperti Jepun atau United Kingdom.

“Bagaimanapun isu asas adalah apakah fokus kerajaan? Adakah penduduk tempatan atau warganegara luar? Kita mungkin dapat memudahkan warganegara luar membeli rumah kedua mereka di negara kita tetapi masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mampu membeli rumah pertama mereka.

“Kerajaan telah juga menetapkan had bilangan peserta MM2H dan tanggungan adalah satu peratus dari penduduk negara kita. Jika penduduk negara kita adalah 32 juta ini bermakna hadnya adalah 320,000.

“Tetapi adakah had ini terlalu tinggi memandangkan pelbagai masalah yang kita hadapi dengan warganegara asing sama ada yang sah atau yang tanpa izin,” katanya.

Menurutnya, sejak 2002 sehingga 2019, program MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan.

“Secara purata sebanyak RM690 juta setahun. Tetapi mungkin dengan syarat-syarat baharu ini pendapatan ini akan bertambah kerana strategi baharu kerajaan adalah menyasarkan kualiti bukan kuantiti,” katanya.

Iskandar juga mencadangkan kerajaan memberi keutamaan kepada mereka yang dapat menyumbang kepada penduduk tempatan dengan meluluskan mereka menjalankan perniagaan dengan menggaji tenaga kerja, khidmat mahu pun produk tempatan.

“Kita tidak mahu melihat kerajaan tunduk kepada desakan-desakan dari luar negara. Sekiranya kerajaan mahu memberi kelonggaran sekalipun bukan untuk permohonan baharu tetapi untuk peserta yang sedia ada yang termasuk tanggungan mereka berjumlah 57,578.

“Bagaimanapun kelulusan tidak semestinya automatik tetapi tertakluk kepada syarat seperti telah memiliki kediaman dengan nilai yang tertentu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast