Sultanah Nur Zahirah

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan bahawa Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah perlu memberi keterangan bagi membuktikan kes saman fitnah baginda terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu selepas sebulat suara membenarkan rayuan Rewcastle-Brown dan dua lagi untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengecualikan Sultanah Nur Zahirah daripada memberi keterangan dalam saman fitnah baginda terhadap mereka.

Mohamad Zabidin, yang bersidang bersama-sama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Lee Heng Cheong dalam prosiding yang dikendalikan menerusi Zoom, berkata Sultanah Nur Zahirah tidak sepatutnya mengemukakan permohonan mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 agar kes itu dilupuskan berdasarkan penentuan persoalan undang-undang tanpa mendengar perbicaraan penuh.

“Perkara itu hendaklah diputuskan melalui perbicaraan. Keseluruhan permohonan (oleh Sultanah Nur Zahirah di Mahkamah Tinggi) sepatutnya ditolak. Justeru, kami membenarkan rayuan ini dan mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 13 Dis 2019,” katanya.

Beliau berkata dalam kes ini, kenyataan yang didakwa berbaur fitnah boleh didapati dalam halaman tiga buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose dan ia perlu diputuskan melalui perbicaraan.

Panel itu membuat keputusan selepas mendengar hujah peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili Rewcastle-Brown atau Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise iaitu Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd serta peguam counsel Vishnu Kumar bagi pihak Sultanah Nur Zahirah.

Seorang lagi peguam Sultanah Nur Zahirah, Datuk Mohd Haaziq Pillay ketika dihubungi berkata mereka akan membuat permohonan agar baginda dibenarkan memberi keterangan menerusi sidang video atas alasan keselamatan.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi telah menetapkan 26 Ogos sebagai pengurusan kes saman itu.

Menerusi saman yang difailkan pada 21 Nov tahun lepas, Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan itu adalah fitnah kerana baginda tidak pernah melibatkan diri dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan penubuhan TIA selain mendakwa kenyataan itu telah memalukan serta menjatuhkan reputasi baginda pada pandangan masyarakat.

Oleh itu, baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ketiga menghentikan pencetakan lanjut salinan buku berkenaan.

— BERNAMA