KUALA LUMPUR – Semua pelajar berusia 17 dan 18 tahun di Kelantan akan diberikan suntikan vaksin Covid-19 bermula pertengahan September ini.
Hal ini dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin pada Dewan Undangan Negeri hari ini.
Katanya, langkah itu diambil sebagai keselamatan pelajar yang dijangka memulakan sesi persekolahan secara bersemuka tidak lama lagi.
“Kita akan mulakan suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar berusia 17 dan 18 tahun bermula pertengahan September ini.
“Langkah ini bagi membolehkan mereka memulakan sesi persekolahan yang dijangka dibuka tidak lama lagi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu, bagi mencapai imuniti kelompok yang dijangka pada akhir September atau pertengahan Oktober ini, usaha memvaksinasi perlu dimulakan sekarang.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan memohon tambahan vaksin sebanyak 200,000 dos daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
Untuk September, kata Dr. Izani, Kelantan dijangka mendapat kira-kira 700,000 dos vaksin Covid-19 dan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan tambah lagi bagi memastikan mencapai imuniti kelompok.
“Sehingga 21 Ogos lalu, jumlah individu yang telah disuntik dos pertama telah mencapai 54 peratus dan bagi dos kedua 34.4 peratus.
“Setakat ini sambutan menggalakkan dari rakyat di Kelantan yang mahu divaksinkan bagi membolehkan mereka selamat daripada penularan wabak,” katanya.
Mengenai vaksinasi golongan terlantar, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri memutuskan untuk memberi vaksin dari rumah ke rumah. – MalaysiaGazette