JOHOR BAHRU – Majoriti golongan orang kelainan upaya (OKU) tidak menolak vaksin memandangkan golongan itu menyedari ia adalah satu bentuk ikhtiar melawan pandemik.
Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Ras Adiba Radzi berkata, rata-rata mereka telah biasa menerima ubat termasuklah dalam bentuk suntikan.
Sebaliknya ada waris atau ahli keluarga individu OKU sahaja yang berasa bimbang.
“Walaupun buat waktu ini kami masih tidak mempunyai statistik berapa ramai individu OKU yang telah menerima vaksin namun majoriti daripada mereka tidak menolak untuk disuntik.
“Majoriti golongan OKU tidak menolaknya kerana kami sudah biasa menerima rawatan termasuk suntikan,” katanya pada sidang media selepas majlis pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman dan Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri, Khairun Ahmad.
Tambah Ras Adiba lagi, setakat hari ini dianggarkan seramai 600,000 golongan OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).
“Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan sejumlah 15 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara adalah individu dalam kalangan OKU.
“Jika benar statistik berkenaan, dianggarkan terdapat lebih empat juta warganegara ini yang merupakan individu OKU namun kita tiada jumlah tepat,” ujarnya.
Sementara itu, Noorazam pula memberitahu, PPV Pandu Lalu OKU Sentral berkenaan merupakan PPV pandu lalu terbesar di Malaysia.
Ia akan menyediakan perkhidmatan suntikan vaksin Covid-19 kepada seramai 20,000 penerima sepanjang tempoh beroperasi.
“PPV ini memulakan operasi hari ini dengan anggaran seramai 400 penerima suntikan khusus buat individu OKU, warga emas dan penjaga mereka.
“Sehubungan itu, kami menasihati golongan sasar untuk segera berdaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin secara pandu lalu dalam usaha bersama-sama.
Sementara itu, Azlina Abd Samad, 46, yang menghantar adik perempuannya, Ariyanti Abd Samad, 37, menyifatkan PPV pandu lalu itu mesra OKU.
Selain memudahkan waris OKU menguruskan keluarga mereka menerima suntikan, bantuan dan layanan mesra dari sukarelawan, cara susunan atau proses suntikan untuk golongan OKU juga sangat tersusun.
“Syukur alhamduillah, memang sangat mesra pengguna kepada golongan seperti mereka. Kita yang sebagai keluarga ini rasa takut sebaliknya adik saya tenang sahaja.
“Kemesraan petugas di sini pun sebenarnya menjadi salah satu penyumbang anak-anak istimewa ini gembira dan memang tidak berasa takut untuk disuntik,” katanya.
PPV OKU pandu lalu Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini mempunyai 26 ruang parkir kereta dan empar ruang motosikal dalam satu-satu masa.-MalaysiaGazette