Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memperkenalkan Al-Ikhsan sebagai penaja rasmi pengedaran barang FAM-Harimau Malaya di Kelana Jaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Peminat Harimau Malaya kini boleh mendapatkan barangan yang memiliki elemen Harimau Malaya di semua outlet Al-Ikhsan Sports bermula 16 September ini.

Peluang itu ekoran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan syarikat pengedar peralatan serta pakaian sukan terkenal negara, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd sebagai rakan pengedar rasmi hari ini.

Sesi pengenalan rakan rasmi FAM telah diadakan secara tertutup di Football Republic, Sunway Pyramid pada Mei lalu namun pengumuman kerjasama itu hanya dibuat hari ini selepas Al-Ikhsan Sports dapat mengesahkan tarikh pelancaran serta pengedaran barangan berkenaan yang sebelum ini terpaksa ditunda berikutan pandemik.

Sesi tersebut telah dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, timbalan presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram serta Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd pula telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vach Pillutla.

Menerusi kerjasama bersama Al-Ikhsan Sports, hajat peminat bola sepak negara untuk mendapatkan pelbagai barangan daganga rasmi Harimau Malaya kini lebih mudah.

Menurut Hamidin, Al-Ikhsan Sports merupakan saluran terbaik bagi FAM untuk mengenal pasti kehendak peminat selain meluaskan lagi penjenamaan Harimau Malaya di dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

“Di FAM, kami turut mengutamakan permintaan peminat dalam pembelian barangan rasmi skuad Harimau Malaya seperti jersi peminat, baju polo, beg gim, jaket dan bermacam-macam lagi barangan.

“Saya pasti menerusi kerjasama ini juga, ia dapat mengukuhkan lagi penjenamaan Harimau Malaya di dalam pasaran Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Al-Ikhsan Sports, Ali Hassan bangga  atas kerjasama bersama badan induk bola sepak negara itu.

“Dalam bulan kemerdekaan ini, Al-Ikhsan Sports berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada FAM di mana sukan bola sepak sudah terkenal dengan kemampuan untuk menyatu-padukan rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Sementara, Stuart pula menambah,32 rekaan barangan FAM-Harimau Malaya termasuk barangan sukan untuk kanak-kanak dari Suparimau dan barangan edisi terhad FAM yang lain akan dipasarkan secara berperingkat bagi tahun 2021 yang mana 18 rekaan pertama sahaja akan dilancarkan pada 16 September ini.

Manakala baki 14 rekaan lagi akan dikeluarkan pada November 2021 sempena saingan Piala Suzuki AFF.

Vach Pillutla yang teruja dan tidak sabar untuk memulakan pemasaran dan pengedaran barangan rasmi FAM dan Harimau Malaya menyifatkan barangan ini akan menjadi barangan “panas” serta “mesti milik” setiap rakyat Malaysia lebih-lebih lagi penyokong Harimau Malaya.

“Untuk fasa pertama kerjasama ini, rak rasmi FAM-Harimau Malaya akan mula berada di semua outlet-outlet utama Al-Ikhsan Sports terlebih dahulu dan sebelum tahun ini berakhir, rak khas ini akan berada di 125 cawangan kami seluruh negara.

“Sebagai usaha FAM & Al-Ikhsan Sports untuk membantu barisan hadapan membendung pandemik COVID-19, kami juga telah menyediakan outlet secara dalam talian menerusi laman web rasmi Al-Ikhsan Sports sebagai alternatif untuk para penyokong membeli belah dengan selamat,” kata Vach.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast