Mohd Kamarudin Md Din

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket antarabangsa yang giat aktif  dalam jenayah penipuan menawarkan kerja di dalam talian di negara ini dengan kerjasama polis Singapura  selepas melakukan satu serbuan di sebuah kondominium mewah di Taman Desa Skudai Johor Bahru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya melakukan serbuan dan pemeriksaan di kondominium mewah yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket antarabangsa penipuan tawaran pekerjaan itu pada 26 Ogos lalu

“Hasil pemeriksaan di unit kondominium itu berjaya menahan seramai tiga individu tempatan berusia lingkungan 21 hingga 27 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

Katanya, tindakan juga akan menyusul ke atas suspek-suspek itu mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 danm Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFFPUAA 2001).

Berdasarkan siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi sekitar Jun lalu apabila menggunakan media sosial seperti Instagram dan Facebook menawarkan peluang kerja sebagai agen syarikat untuk membeli barangan yang diiklankan melalui platform e-dagang.

“Pembelian tersebut didakwa untuk menaikkan rating dan nilai jualan syarikat berkaitan dan pendapatan harian yang dijanjikan adalah antara RM200 hingga RM300 manakala mangsa yang berminat akan menerima mesej melalui whatsapp yang mengandungi pautan untuk barangan yang perlu dibeli.

“Bagi setiap barangan yang dibeli, mangsa akan dibayar semula nilai barangan yang dibeli beserta tambahan komisen sebanyak 5 hingga 8 peratus dan proses pembelian dan bayaran semula akan berulang-ulang dimulai dengan barangan murah.

“Namun, apabila mangsa membuat pembelian barangan yang mahal, bayaran balik tidak lagi dibuat atas alasan masalah pemindahan wang, malah mangsa akan diminta membuat bayaran ke dalam akaun keldai kononnya sebagai yuran pemprosesan, penalti cukai, tukaran mata wang asing dan sebagainya,” ujarnya.

Menurut beliau, mangsa hanya menyedari mereka tertipu apabila wang yang dijanjikan tidak diterima walaupun mereka telah membuat pembayaran wang.

Kata Kamarudin, berpandukan kepada rampasan tersebut, sindiket itu mempunyai kaitan dengan 95 laporan polis melibatkan mangsa di Singapura dengan nilai kerugian berjumlah 690,000 dolar Singapura atau RM2.15 juta dan sekurang-kurangnya satu laporan polis dibuat di Malaysia melibatkan kerugian RM21,700.

“Siasatan setakat ini juga mendapati tiga lelaki yang ditahan itu berperanan memindahkan wang hasil penipuan daripada akaun keldai ke akaun e-wallet yang diberikan pihak atasan sindiket itu yang mana mereka ditugaskan membuat pembelian Wang Kripto dan menerima komisen 0.2 peratus dengan nilai anggaran 600 dolar Singapura (RM1,869) sehari.

“Usaha untuk mengesan saki baki sindiket ini yang masih bebas di luar sana sedang dipergiatkan oleh polis kedua-dua negara,” katanya.

Kamarudin menegaskan sejak Januari 2021 hingga 12 Julai lalu, sebanyak 164 laporan polis telah diterima polis berkaitan penipuan sindiket ini membabitkan nilai kerugian berjumlah RM2.394,430 dan maklumat risikan mendedahkan sindiket ini mempunyai jalinan kerajasama dengan sindiket antarabangsa dan turut menimpu mangsa negara Singapura.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya agar tidak menjadi mangsa penipuan sindiket dalam talian.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast