Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Tender untuk Penggerak Penumpang Automatik (APM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini di peringkat akhir proses penilaian, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan pengendali lapangan terbang itu berkata,  pihaknya telah mengenal pasti senarai pendek akhir pembida APM untuk menggantikan Aerotrain yang sudah lama selepas selesai peringkat penilaian teknikal.

“Pembida yang disenarai pendek sedang dinilai berdasarkan tawaran komersial mereka.

“Pendekatan tender Malaysia Airports memberi keutamaan pada memenuhi matlamat perniagaannya serta keperluan teknikal dan prestasi projek itu,” menurut MAHB.

Katanya, semua permohonan telah dinilai secara objektif dan adil mengikut keperluan yang ditetapkan.

Selain itu, MAHB berkata pembida yang tidak memenuhi syarat ini tidak akan melangkah ke peringkat penilaian komersial yang terakhir dan semua pembida yang tidak berjaya telah dimaklumkan mengenai status mereka.

“Ketiga-tiga Aerotrain yang sedang beroperasi di KLIA perlu diganti berikutan aset-aset tersebut telah menghampiri peringkat akhir hayatnya.

“Dua daripada Aerotrain itu telah beroperasi sejak lapangan terbang tersebut mula dibuka pada 1998 dengan tren ketiga ditambah pada 2010,” menurut MAHB, sambil menambah penggantian tren itu dijangka dapat memenuhi pertumbuhan lapangan terbang itu pada masa depan.

Pada 1998, pergerakan trafik tahunan Terminal 1 KLIA sebanyak 13 juta penumpang manakala pada 2019, mencapai 29 juta penumpang, menurut kenyataan itu.

Tender tersebut dijangka dimuktamadkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan MAHB berkata pihaknya akan membuat pengumuman yang sewajarnya apabila penganugerahan rasmi diluluskan oleh Lembaga Pengarah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast